comscore
Tumpuan :
Sukan

Mampukah Tang Jie-Ee Wei menjuarai Masters Thailand?

Gambar fail Tang Jie-Ee Wei di Terbuka China

KUALA LUMPUR: Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hanya selangkah lagi bagi merekodkan gelaran ketiga dalam saingan Jelajah Dunia BWF selepas mara ke final Masters Thailand.

Menanti beregu campuran negara di pentas final hari ini adalah wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Berdasarkan rekod pertemuan, Tang Jie-Ee Wei hanya menang sekali ketika bertemu lawan dari Thailand itu dalam lima pertemuan sebelum ini dengan kali terakhir mereka tewas di pusingan kedua Terbuka India, bulan lalu.

Tang Jie-Ee Wei mara ke final selepas membenam cabaran gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-11, 21-17 pada aksi separuh akhir di Stadium Nimibutr di Bangkok, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei berjaya melunaskan dendam mereka ke atas Mirodikawa-Saito selepas tewas ketika pusingan kedua Terbuka Malaysia, bulan lalu.

Sebagai rekod, ini adalah kali pertama pasangan itu melangkah ke final dalam tempoh lapan bulan selepas kali terakhir di Terbuka Taiwan, Jun tahun lalu yang menjadi gelaran Jelajah Dunia BWF kedua mereka.

Sebelum itu, Tang Jie-Ee Wei turut menjuarai saingan Masters Orleans pada April tahun lalu.

Tiga kejohanan awal musim ini menyaksikan pasangan itu terkandas di pusingan kedua di Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini