
MANCHESTER: Manchester City bangkit menewaskan Chelsea 3-1, selepas kesilapan pertahanan baharunya, Abdukodir Khusanov memberikan pelawat kelebihan di awal aksi di Stadium Etihad.
Kemenangan itu melonjak skuad kendalian Pep Guardiola ke tangga keempat pada 41 mata, 12 di belakang pendahulu, Liverpool yang bermain kurang satu perlawanan. dan satu di depan Chelsea, yang tergelincir ke tangga keenam.
Khusanov, 20, yang ditandatangani dari Lens minggu ini, memulakan karier di Etihad dengan langkah kiri apabila percubaan menanduk bola kepada penjaga gol, Ederson, dipintas oleh Nicolas Jackson yang mengumpan bola untuk jaringan Noni Madueke pada minit ketiga.
Seminit kemudian, pemain Uzbekistan itu dilayangkan kad kuning kerana mengasari Cole Palmer dan akhirnya digantikan oleh John Stones di awal babak kedua.
Seorang lagi pemain baharu, Omar Marmoush tampil lebih baik di barisan depan. Penyerang Mesir itu berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Chelsea sepanjang 45 minit pertama.
City menyamakan kedudukan menerusi Josko Gvardiol, tiga minit sebelum rehat dan mendahului permainan pada minit ke-68 hasil jaringan Erling Haaland.
Haaland kemudian mengumpan bola untuk jaringan Phil Foden tiga minit sebelum tamat permainan.
“Sukar apabila kami memulakan permainan seperti ini, tetapi kami bermain sangat baik dan kami terus berusaha. Kami mengunci benteng dan terus menyerang,” kata Haaland.
Pengendali City, Guardiola enggan mengkritik Khusanov yang mengharungi permulaan mengecewakan di Etihad.
“Pemain-pemain bersatu. Itu yang paling penting. Mana-mana pemain boleh melakukan kesilapan. Peminat sentiasa menyokong pemain baharu. Dia sangat muda. Dia akan belajar,” kata Guardiola.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.