comscore
Tumpuan :
Sukan

MAS mula siasat dakwaan Pandelela

Setiausaha Agung MAS, Andy Low pada sidang media selepas mesyuarat post mortem skuad terjun negara di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) akan memulakan siasatan berhubung dakwaan Datuk Pandelela Rinong wujud ‘gangguan’ yang menjurus aksi hambar penerjun negara di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, baru-baru ini.

Setiausaha Agung MAS, Andy Low, berkata beliau sendiri sudah bertemu dengan Pandelela hari ini dan mendapatkan penjelasan terperinci mengenai dakwaan yang disuarakan penerjun wanita negara itu.

Datuk Pandelela Rinong. – FOTO: Reuters

“Biar kami siasat dahulu, apabila selesai semuanya kami akan maklumkan apa sebenarnya yang berlaku,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat post mortem skuad terjun negara di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Ditanya bentuk ‘gangguan’ berkenaan dan adakah ia sesuatu yang serius, Andy memaklumkan pihaknya perlu melakukan siasatan terlebih dahulu.

Pandelela sebelum ini mendakwa ada kemelut dalaman yang berlaku dalam kem terjun negara sekali gus menjadi punca terhadap prestasi hambar penerjun negara di Doha.

Andy turut memaklumkan pihaknya sudah pun selesai menjalankan post mortem susulan kegagalan skuad terjun negara di Doha selepas mendapat laporan penuh daripada pengarah teknikal, Bryan Nickson Lomas dan tiga jurulatih kebangsaan.

“Kami sudah melakukan post mortem secara menyeluruh hari ini yang turut membabitkan laporan daripada pengarah teknikal dan tiga jurulatih. Kami melihat kepada semua isu termasuklah kekuatan dan kelemahan.

“Namun, saya minta maaf kerana tidak dapat mendedahkan maklumat yang lebih terperinci kerana ia perlu dibentangkan dalam mesyuarat pemulihan sebelum di bawah ke mesyuarat JKK (Jawatankuasa Kerja) bersama MSN (Majlis Sukan Negara).

“Saya percaya dalam tempoh tiga minggu lagi kami boleh maklumkan mengenai perkara ini,” katanya.

Skuad terjun negara yang dibarisi 13 penerjun beraksi hambar pada penyertaan di Doha apabila tiada seorang pun yang berjaya menyambar tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini