KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermula langkah kanan di Masters China 2024 apabila mara ke pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di Shenzhen hari ini.
Pada aksi pusingan pertama di Gimnasium Shenzhen, pilihan kelima kejohanan yang dalam usaha menghidupkan peluang ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China, bulan hadapan, mudah mengetepikan cabaran wakil Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin dengan keputusan straight set 21-12, 21-18.
Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik yang juga ranking kelima dunia bakal membuat pertemuan menentang beregu senegara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, yang turut mara selepas menewaskan gandingan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul 21-19, 21-15.
Turut mara, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas menewaskan Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan dari Taiwan dengan kemenangan 21-23, 21-9, 21-12 dalam masa 58 minit.
Tang Jie-Ee Wei akan menentang pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue atau wakil China, Zhou Zhi Hong-Bao Li Jing dalam pusingan 16 terakhir.
Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan profesional wanita Goh Jin Wei yang terus gagal menamatkan badi tersingkir seawal pusingan pertama pada beberapa kejohanan sebelum ini.
Jin Wei yang menghuni ranking ke-40 dunia ditunjukkan jalan keluar pemain ranking ke-23 dunia dari Kanada, Michelle Li dengan 18-21, 16-21.
— BERNAMA
Sukan
Masters China: Aaron-Wooi Yik buka langkah kanan di Shenzhen
Berita berkaitan
Loading...
Terkini