KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mara ke pusingan kedua Masters Kumamoto di Jepun, sekali gus menyalakan peluang memburu gelaran Jelajah Dunia keempat, musim ini.
Pasangan nombor lapan dunia hanya memerlukan 32 minit untuk menundukkan gandingan Taiwan, Lin Bing Wei-Su Shing Heng 21-12, 21-17 pada aksi pusingan pertama di Gimnasium Kumamoto Prefectural.
Sebelum ini, Izzuddin-Sze Fei sudah merangkul tiga gelaran juara bermula Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik di Finland.
Pasangan itu yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada September lalu akan bertemu satu lagi gandingan profesional negara, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong dalam perebutan tiket ke suku akhir, Khamis ini.
Ariyn-Wee Kiong mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Chang Ko Chi-Chen Xin Yuan dari Taiwan. 21-9, 21-18.
Terdahulu, beregu lelaki kebangsaan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua selepas mengetepikan cabaran gandingan Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-18, 23-21, 21-19.
Menanti mereka di pusingan kedua adalah beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi dua lagi beregu lelaki kebangsaan, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan lawan masing-masing.
Haikal-Hon Jian ditunjukkan jalan keluar selepas tunduk di tangan beregu Taiwan, Lui Kuang Heng-Yang Po Han 15-21, 17-21 manakala Wan Arif-Roy King tewas kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 14-21, 15-21.
Sementara itu, saingan beregu wanita menyaksikan pasangan nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah turut tersingkir di pusingan pertama selepas tewas di tangan gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dalam pertarungan tiga set 9-21, 21-14, 21-23.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.