Tumpuan :
Sukan

Masters Kumamoto: Jun Hao terus lakar kejutan, mara ke separuh akhir

Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berjaya meneruskan kemaraan di Masters Kumamoto di Jepun apabila mengesahkan tempat ke separuh akhir, sebentar tadi.

Pemain ranking ke-31 dunia itu mencipta sensasi apabila menumbangkan wakil tuan rumah yang juga pemain nombor empat dunia, Kodai Naraoka dalam pertarungan tiga set pada aksi suku akhir di Gimnasium Kumamoto Prefectural.

Jun Hao bermula baik apabila menang 21-17 di set pertama sebelum hilang fokus yang membolehkan Naraoka bangkit untuk memenangi set kedua 21-9 sekali gus mengheret permainan ke set penentuan.

Awal permainan set ketiga menyaksikan dominasi daripada Naraoka yang beberapa kali mendahului tetapi Jun Hao membuktikan tiada istilah berputus asa dalam dirinya apabila berjaya bangkit menyamakan kedudukan dan seterunya memimpin permainan sehingga menang 21-16 untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Kemenangan membolehkan Jun Hao melunaskan dendamnya ke atas Naraoka di atas kekalahan di tangan lawan itu ketika pusingan kedua Terbuka Jepun, Ogos lalu.

Jun Hao sebelum ini turut mencipta kejutan dalam laluannya ke suku akhir selepas menumbangkan semifinalis Olimpik Paris 2024 dari India, Lakshya Sen di pusingan pertama dan pemain ranking ke-11 dunia dari Jepun, Hoki Watanabe di pusingan kedua, semalam.

Bekas juara remaja Asia itu akan berdepan jaguh Indonesia, Jonatan Christie bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.

Terdahulu, Jonatan mara ke kelompok empat terbaik selepas menumbangkan pemain perseorangan lelaki profesiona negara, Lee Zii Jia 12-21, 21-18, 21-18 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini