comscore
Tumpuan :
Sukan

Mbappe sah akan tinggalkan PSG akhir musim ini

Bintang Perancis, Kylian Mbappe mengesahkan yang dia akan meninggalkan Paris Saint-Germain pada akhir musim ini.-Foto: Reuters

PARIS: Bintang Perancis, Kylian Mbappe mengesahkan dia akan meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) pada akhir musim ini selepas tujuh tahun beraksi di kelab itu.

Pemain 25 tahun itu mengumumkan perkara berkenaan di media sosial dan mengesahkan perlawanan terakhirnya di Parc des Princes ialah menentang Toulouse esok.

Mbappe sudah lama dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Paris, dan dijangka menyertai Real Madrid sebaik kontraknya tamat musim ini.

“Hai semua, ini Mbappe. Saya ingin bercakap dengan anda.

“Saya sentiasa katakan yang saya akan bercakap dengan anda dan saya mahu mengumumkan yang ini adalah tahun terakhir saya di Paris Saint-Germain.

“Saya tidak akan melanjutkannya dan pengembaraan ini akan berakhir dalam beberapa minggu lagi.

“Saya akan bermain perlawanan terakhir saya di Parc des Princes pada Ahad. Saya bangga berpeluang menjadi sebahagian daripada kelab terbesar Perancis, salah satu kelab terbesar di dunia.

“Kelab yang membawa saya ke sini dan memberikan pengalaman pertama buat saya bermain di bawah tekanan, berkembang sebagai pemain bersama-sama antara pemain terbaik dalam sejarah, bertemu ramai orang. Mematangkan saya dengan kegemilangan dan kesilapan yang saya lakukan.

“Pertama sekali, saya ingin berterima kasih kepada rakan sepasukan yang pernah bersama saya, semua jurulatih, Unai Emery, Thomas Tuchel, Mauricio Pochettino, Christophe Galtier dan Luis Enrique.

“Pengarah sukan, Leonardo dan Luis Campos kerana sentiasa menemani saya. Semua kakitangan di kelab yang bekerja keras di belakang tabir.

“Saya tidak sangka begitu sukar untuk mengumumkan yang saya akan meninggalkan negara saya. Perancis, Ligue 1, liga yang cukup saya kenali.

“Tetapi saya memerlukan cabaran baharu selepas tujuh tahun. Terima kasih buat semua penyokong,” kata Mbappe.

Madrid dikatakan bersedia menjadikan Mbappe pemain termahal di kelab gergasi Sepanyol itu, melebihi jumlah 10.3 juta pound (RM62.49 juta) semusim dibayar kepada Jude Bellingham dan Vinicius Junior.

Mereka juga bersedia membayar yuran perpindahan sekitar 85.5 juta pound (RM507.44 juta) dan terbuka untuk rundingan berkenaan peratusan hak imej yang bakal diterima Mbappe.

Mbappe dijangka akan menyarung jersi nombor 10 yang bakal ditinggalkan Luka Modric pada musim panas ini.

Kehadirannya bakal menyaksikan gandingan serangan paling berbisa di Eropah yang dibarisi Vinicius Jr dan Rodrygo, serta dibantu oleh Bellingham.

Di PSG, Mbappe muncul penjaring terbanyak kelab dalam semua pertandingan di setiap kempen sejak berpindah secara tetap pada tahun 2018.

Dia membantu PSG menjulang tiga trofi Piala Perancis, dua kali kejuaraan liga, dan tiga kali Piala Super Perancis selain berpeluang menamatkannya dengan satu lagi kejuaraan Piala Perancis apabila bertemu Lyon pada final akhir bulan ini. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini