comscore
Tumpuan :
Sukan

MDF sasar empat emas di Riyardh

KUALA LUMPUR: Persekutuan Dodgeball Malaysia (MDF) meletakkan sasaran empat emas pada Kejohanan Dodgeball Asia 2024 yang bakal berlangsung di Riyadh, Arab Saudi bermula esok hingga Rabu ini.

Presidennya Nozieka Faisal berkata sasaran itu diharap menerusi katagori – lelaki, campuran, lelaki Bawah (B) – 21 tahun dan campuran B-16 – daripada enam kategori yang dipertandingkan.

 

“Saya tidak menafikan skuad wanita dan wanita B-21 juga mampu untuk menghadiahkan emas buat Malaysia. Namun, kita perlu bekerja lebih kuat untuk menandingi pasukan terkemuka dari negara lain,” katanya di Riyadh.

Pencapaian cemerlang di kejohanan itu, turut penting untuk meraih kelayakan ke Piala Dunia Dodgeball 2025, dengan tiga pasukan teratas bagi setiap kategori akan meraih tiket ke saingan peringkat dunia.

Menurut Nozieka, antara pencabar utama dijangka memberi tentangan sengit buat skuad negara adalah Jepun dan Australia, serta tuan rumah Arab Saudi, walaupun kali pertama beraksi dalam kejohanan berkenaan.

“Sukan Dodgeball ini memerlukan semangat pasukan dan kekitaan seperti sebuah keluarga untuk bermain dengan baik dan saya nampak semangat itu dalam skuad kita yang sekarang,” katanya.

Beliau berkata antara cabaran yang dihadapi pihaknya pada tahun ini adalah kekurangan dana dan kesukaran untuk mencari atlet wanita bagi kategori campuran B-16.

Nozieka berkata pasukan campuran B-16 hanya dapat menjalani latihan selama dua bulan berikutan pembubaran skuad lelaki B-16 pada saat akhir kerana kategori itu tidak dipertandingkan pada edisi kali ini.

Di sebalik cabaran itu, Nozieka berharap para atlet dapat mengawal emosi dan perasaan gemuruh untuk pulang dengan kejayaan.

Pada Kejohanan Dodgeball Asia 2019 di Hong Kong, Malaysia berjaya meraih pingat perak bagi kategori lelaki dan campuran, gangsa untuk kategori lelaki B-21 serta tempat keempat bagi kategori wanita B-21.

Pencapaian itu melayakkan skuad negara ke Piala Dunia 2022 di Mesir, di mana pasukan lelaki dan campuran membawa pulang perak, lelaki B-21 meraih gangsa, manakala skuad wanita dan wanita B-21 menamatkan kempen di kedudukan keempat.
=BERNAMA=

Loading...
Terkini