Tumpuan :
Sukan

Megat batal hasrat rebut jawatan Presiden FAM

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin batalkan niat bertanding Presiden FAM.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin membatalkan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kongres pemilihan badan induk itu yang akan berlangsung bulan depan.

Beliau berkata keputusan itu terpaksa diambil disebabkan kekangan masa untuk berbuat demikian.

“Memang pada awalnya saya amat berminat untuk bertanding, tetapi dalam keadaan kekangan masa saya yang sibuk, saya menangguhkan niat itu dulu. Secara peribadi, saya memang berminat membantu sukan bola sepak negara, tetapi mungkin belum masa lagi.

“Lebih penting, saya mahu menumpukan tanggungjawab yang sedia ada di Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) serta beberapa lagi dalam persatuan sukan lain.

“Tugas presiden bukan hanya pada gelaran, sebaliknya ia adalah tanggungjawab besar kepada rakyat yang mengharapkan perubahan positif serta mencapai sasaran,” katanya.

Megat memaklumkan beliau ketika ini berada di India atas urusan kerja dan tidak sempat menghantar pencalonan.

“Hari ini sudah tarikh akhir, jadi saya memang tidak sempat untuk menghantar pencalonan. Saya kini berada di luar negara atas urusan kerja,” katanya.

Sebelum ini, Megat yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu mengumumkan tidak akan mengambil gaji sekiranya terpilih menerajui badan induk itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini