KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mengesahkan untuk mempertahankan jawatannya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada 14 Dis ini.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Renang Para Malaysia (PREPMA) berkata keputusan untuk merebut jawatan disandangnya itu kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan untuk MPM dan sukan para negara.
“Antara peranan saya adalah untuk memastikan dua kontrak kerjasama penting untuk dana bagi membantu MPM meneruskan program akar umbi berprestasi tinggi dan juga program luar podium.
“Kerjasama dengan entiti atau syarikat berkenaan adalah sangat penting kerana sudah menjadi tanggungjawab presiden untuk mencari dana sendiri bagi menampung perbelanjaaan program dan pengurusan MPM,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail telah mengumumkan untuk bertanding bagi merebut kerusi nombor satu MPM.
Mengenai pencalonan Ahmad Shapawi, beliau berharap ahli gabungan dapat memilih calon terbaik bagi menerajui badan induk sukan para itu bagi tempoh empat tahun akan datang.
Difahamkan MPM akan mengeluarkan senarai rasmi calon layak bertanding pada AGM kali ini, esok.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.