comscore
Tumpuan :
Sukan

Melaka FC sedia sahut cabaran dalam Liga M3 untuk kembali ke pentas Liga Super

FOTO: FB Melaka United Soccer Association

MELAKA: Selepas disahkan tidak layak beraksi dalam saingan Liga Super musim 2023, pelbagai perubahan dilakukan ke atas pasukan dari Melaka ini.

Bermula dengan nama Melaka United sebelum dikatakan ditukar kepada Harimau Melaka, kini, nama yang akan digunakan dalam saingan Liga M3 musim depan adalah Melaka FC.

Dan perkembangan terkininpasukan, persiapan sedang dijalankan untuk menghadapi kempen Liga M3 dengan sasaran maju kembali ke pentas Liga Super pada musim seterusnya.

“Memang benar jenama tidak penting, tetapi soal pentadbiran dan pengurusan itu yang perlu diutamakan. Saya percaya jika kualiti pentadbiran kita berjalan lancar, Insya-Allah sasaran untuk Melaka kembali ke Liga Super pada 2024 akan tercapai.

“Pihak kita juga komited dalam isu pembayaran gaji selain membuat ketetapan dengan mewujudkan satu akaun khas untuk memastikan gaji pemain dapat diselesaikan setiap bulan supaya masalah tunggakan gaji tidak berulang,” kata Presiden, Datuk Nur Azmi Ahmad.

Walaupun hanya akan beraksi dalam liga bawahan, Datuk Nur Azmi tetap mahukan kekuatan sama dimiliki Melaka FC seperti mana ketika beraksi dalam saingan Liga Super sebelum ini, dan sebagai tambahan, akan menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pemain anak jati Melaka.

Selain itu, venue pertandingan Melaka FC juga akan kekal di Stadium Hang Jebat dengan penyokong diberikan peluang untuk menyaksikan perlawanan pasukan secara percuma di awal musim.

“Kita juga kini sedang dalam proses memilih jurulatih baharu dengan menyenarai pendek empat jurulatih iaitu dua jurulatih luar negara dan dua jurulatih tempatan untuk melatih pasukan selain melantik jawatankuasa teknikal.

“Hasrat kami untuk merealisasikan sasaran seterusnya mempersiapkan satu pasukan yang bersedia sekurang-kurangnya Disember ini sebelum saingan Liga M3 membuka tirai Februari tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) turut ditukar kembali kepada nama asal iaitu Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) sebagai langkah permulaan untuk kembali memperkasakan pasukan bola sepak negeri yang tersingkir dari saingan liga utama Malaysia.

“Pertukaran nama MAFA kepada nama asal persatuan yang wujud sejak tahun 1924 selain mahu mengembalikan era kegemilangan bola sepak Melaka yang telah melahirkan ramai pemain berkualiti selain legenda bola sepak negara seperti Datuk Soh Chin Ann.

“Perubahan ini juga dilihat akan memberi semangat baharu sukan bola sepak Melaka kerana kita tidak nampak nama MUSA itu satu jenama yang mampu membangun atau menaikkan nama negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Undian Rasmi Gavernor Cup 2022, di Ayer Keroh malam tadi.

Untuk rekod, Melaka pernah jatuh ke liga bawahan, bersaingan dalam Liga FAM pada 2011 sebelum kembali ke Liga Premier pada 2016.

Dan hanya semusim diperlukan Melaka untuk kembali ke kancah Liga Super sebelum kegagalan mendapatkan lesen kelab menyaksikan Melaka tidak layak untuk bersaing dalam Liga Super bagi musim 2023.

Loading...
Terkini