comscore
Tumpuan :
Sukan

Melaka, Sarawak ‘ditendang’ daripada Liga M

Melaka, Sarawak disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia mulai musim depan.

KUALA LUMPUR: Tiada lagi ‘belas kasihan’ daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas Melaka United (MU) dan Sarawak United FC (SUFC) terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan profesional.

Ini selepas badan pengendali liga itu menerusi ‘First Instance Body’ (FIB) menolak rayuan dua pasukan terbabit sekali gus menyaksikan mereka ‘diharamkan’ daripada menyertai Liga Super bermula musim depan.

Perkembangan itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam dalam satu sesi sidang media di Pejabat MFL, hari ini.

“Jawatankuasa rayuan memutuskan rayuan kedua-dua pasukan, MU dan SUFC untuk permohonan lesen kebangsaan musim 2023 sudah pun ditolak.

“Berdasarkan rayuan mengikut artikel 3.4.4, jawatankuasa rayuan hanya boleh meneliti dokumen yang ada ketika keputusan itu dibuat.

“Keputusan yang diumumkan FIB pada 12 Oktober lalu adalah tepat dan dengan ini, pasukan Liga Super bagi musim depan akan kekal dengan 16 pasukan,” katanya.

Terdahulu, MU dan SUFC gagal memperoleh lesen kebangsaan untuk musim depan kerana tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022 sekali gus tidak layak untuk bertanding di pentas Liga Super 2023.

MU didapati tidak mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.

SUFC pula didapati gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di mana keputusan dibuat oleh DRC FIFA terhadap bekas pemainnya iaitu Sandro Da Silva dan Taylor Regan.

Sebagai rekod, ini bukan kali pertama pasukan dari Liga Malaysia (Liga M) gagal mendapat lesen untuk beraksi dalam liga.

Pada 2020, FELDA United dan UKM FC disingkirkan selepas tidak mendapat lesen kebangsaan susulan kegagalan mematuhi kriteria pelesenan dan penswastaan yang bermula pada 2018.

Semua pasukan Liga M perlu mengemukakan dokumentasi dan rekod kewangan untuk mendapat lesen kebangsaan bagi beraksi dalam Liga M sebelum tarikh akhir 30 September.

Justeru, hanya 10 pasukan Liga Super dan enam pasukan Liga Perdana mendapat lesen bertanding bagi musim depan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini