comscore
Tumpuan :
Sukan

Menang play-off, Southampton kembali ke EPL

Southampton kembali ke Liga Perdana Inggeris musim depan selepas menewaskan Leeds 1-0 dalam aksi final play-off Liga Kejuaraan di Wembley, London. – FOTO: Reuters

LONDON: Jaringan tunggal Adam Armstrong memastikan Southampton kembali ke Liga Perdana Inggeris musim depan selepas menewaskan Leeds 1-0 dalam aksi final play-off Liga Kejuaraan.

Penyerang Southampton itu menerima hantaran Will Smallbone dan menjaringkan gol ke-24nya – gol terpenting pasukan – musim ini.

Leeds cuba untuk mencari gol penyamaan selepas rehat tetapi Crysencio Summerville dan Willy Gnonto mensia-siakan peluang keemasan untuk membolosi gawang Southampton.

Penyerang Southampton, Adam Armstrong menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika aksi final play-off Liga Kejuaraan menentang Leeds di Wembley, London. – FOTO: Reuters

Skuad kendalian Russel Martin kembali ke liga tertinggi Inggeris selepas hanya semusim beraksi di Liga Kejuaraan.

Leeds pula buat kali keenam, gagal dalam percubaan mereka menyertai kelompok elit bola sepak Inggeris dan akan beraksi di Liga Kejuaraan untuk dua musim berturut-turut.

Bonus sebanyak RM1.08 bilion bagi pemenang play-off berkenaan adalah berdasarkan peningkatan pendapatan hari perlawanan, hak penyiaran dan nilai komersial di Liga Perdana Inggeris.

Southampton juga dijangka akan memperoleh pendapatan sehingga 300 juta pound (RM2.4 bilion) sekiranya mereka terselamat daripada penyingkiran musim depan.

“Ia apa yang kami usahakan sepanjang tahun, kami tahu betapa bagusnya Liga Kejuaraan tahun ini. Cara terbaik untuk naik! Saya lihat ruang di belakang dan saya tahu jika saya menghantarnya di hadapan gawang, ia akan masuk.

“Ia sangat bermakna. Pengendali dan barisan kejurulatihannya tiba ketika pra-musim dan menetapkan apa yang mereka mahu lihat, dan inilah hasilanya.

“Sebab itu kami sebagai pemain bola sepak, ingin terbabit dalam perlawanan-perlawanan besar,” kata Armstrong.

Hanya 12 bulan lalu, Southampton, yang dimiliki jutawan Serbia, Dragan Solak, menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga tercorot, 11 mata di bawah garis selamat.

Leeds juga tercicir ke Liga Kejuaraan selepas mengakhiri kempen liga tertinggi Inggeris di tempat ke-19.

Kedua-dua kelab berkenaan terpaksa mengharungi play-off musim ini selepas gagal meraih slot automatik. Leeds di tangga ketiga liga dan Saints, keempat.

Saints menewaskan West Bromwich Albion di separuh akhir play-off manakala Leeds mengatasi Norwich City. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini