comscore
Tumpuan :
Sukan

Menteri Sukan Sarawak Cadang Penerjun BASE Tubuh Persatuan, Akademi Latihan

SIBU: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mencadangkan penerjun BASE di negeri ini supaya menubuhkan persatuan atau akademi bagi melatih lebih ramai penerjun dalam sukan lasak itu.

Beliau berkata selain memudahkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan bagi memajukan lagi sukan lasak itu seperti mana sukan lain, persatuan atau akademi ini dapat menjadi badan yang boleh memberikan latihan khusus memandangkan ia bukan sukan yang mudah untuk disertai.

“Jika ada akademi atau seseorang yang bersedia melatih, saya yakin ramai penggemar terjunan BASE di luar sana yang sukakan cabaran seperti terjun dari pesawat atau bangunan, akan turut serta,” katanya kepada media selepas merasmikan pelepasan terjunan Sibu International BASE Jump di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini hari ini.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata acara terjunan BASE itu, yang merupakan satu-satunya acara seumpamanya di negeri ini menjadi produk pelancongan unik yang ditawarkan di sini.

Acara berkenaan mula diperkenalkan pada 2009 dan sejak itu menjadi acara tahunan yang menarik ramai penerjun BASE antarabangsa untuk melakukan terjunan dari Bangunan Wisma Sanyan setinggi 125 meter yang merupakan bangunan tertinggi di Sarawak.

Tahun ini, 33 penerjun dari Malaysia, Amerika Syarikat dan Australia mengambil bahagian dalam acara itu yang tidak dapat dilangsungkan sejak dua tahun lepas berikutan pandemik COVID-19.- BERNAMA

Loading...
Terkini