comscore
Tumpuan :
Sukan

Messi, Di Maria teruskan rentak tanpa kalah Argentina, UAE jadi mangsa

Messi sedang mengambil sepakan percuma dalam aksi persahabatan menentang UAE di Abu Dhabi yang berakhir Argentina menang 5-0. Foto: AFP

Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin

ABU DHABI: Argentina bagai membuktikan mereka sudah betul-betul di tahap terbaik menuju sepak mula Piala Dunia Isnin depan apabila merakam kemenangan besar dalam perlawanan persahabatan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketua pasukan, Lionel Messi membantu Julian Alvarez menjaringkan gol pembukaan di Stadium Mohammed Bin Zayed pada minit ke-17.

Dominasi penuh La Albiceleste diteruskan dengan jaringan kedua dan ketiga oleh Angel Di Maria dalam tempoh singkat iaitu minit ke-25 dan ke-36.

UAE yang menghuni ranking ke-70 dunia dilihat sukar mengekang kehadiran lawan dalam kawasan sendiri menyebabkan ketinggalan 0-4 pada separuh masa hasil gol Messi minit ke-44.

Gol terakhir dan kelima Argentina disumbangkan pemain gantian Joaquin Correa 15 minit selepas rehat.

Kemenangan itu memanjangkan rekod tanpa kalah skuad bimbingan Lionel Scaloni kepada 36 perlawanan, selepas kali terakhir tumbang ialah sewaktu berdepan Brazil pada Julai tiga tahun lalu di Copa America 2019.

Juara dunia edisi 1978 dan 1986 itu melangkah bergaya ke Qatar diiringi momentum mantap tanpa bolos dalam lima perlawanan terakhir selain mengumpul 19 jaringan.

Persembahan menentang UAE menjadi penyesuaian terbaik Argentina yang hanya menggunakan 17 orang pemain menuju perlawanan sulung kempen kali ini lima hari lagi berdepan satu lagi negara Arab, Arab Saudi. – AGENSI

Loading...
Terkini