KUALA LUMPUR: “Untuk melakukan perubahan, kita tidak boleh lakukan hari ini atau esok”. Itu kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL yang baharu, Giorgio Pompili Rossi mengenai cadangan untuk melaksanakan kembali kejohanan divisyen dua Liga Malaysia (Liga M) itu seawal musim depan.
Beliau yang juga bekas Delegasi La Liga di Malaysia bagaimanapun berkata, badan pengelola Liga M itu masih terbuka dan sedia mempertimbangkan sekiranya terdapat cadangan untuk menghidupkan semula pentas Liga Perdana pada masa akan datang.
“Untuk musim depan (wujudkan Liga Perdana)? Sudah terlewat. Bagi memikirkan untuk melaksanakan saingan divisyen kedua kita perlukan masa untuk persiapkan semuanya. Jadi sekarang sudah terlewat.
“Kami akan mempertimbangkan, saya tidak kata ‘no’ atau ‘yes’,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama media, di sini hari ini.
Sebagai rekod, struktur saingan Liga M mengalami perubahan besar sejak musim lalu apabila Liga Perdana dimansuhkan dengan kali terakhir kejohanan itu dianjur pada musim 2022.
Ketika ini, saingan Piala MFL yang disertai pasukan bawah 23 (B-23) tahun menjadi liga kedua selepas Liga Super.
Melihat kepada situasi semasa, boleh dikatakan sukar untuk mewujudkan kembali saingan Liga Perdana dengan banyak pasukan dilaporkan berdepan masalah kewangan dan isu tunggakan gaji musim ini.
Malah, muncul juga persoalan pasukan mana yang akan bermain dalam Liga Perdana buat masa ini kerana pasukan liga separuh profesional, Liga A1 turut dikatakan bergelut dengan isu kewangan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.