comscore
Tumpuan :
Sukan

MFL: Gagal Dapat Lesen, Melaka United, Sarawak United Mungkin Ke Liga M3

 

KELANA JAYA: Penganjur Liga Malaysia, MFL mengumumkan dua pasukan Liga Super, Melaka United FC dan Sarawak United FC gagal untuk mendapatkan lesen kelab untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim 2023.

Ia berikutan kegagalan kedua-dua pasukan untuk menghantar dokumen permohonan dengan lengkap memaksa keputusan ini dibuat MFL dengan kempen Liga Super musim depan hanya akan menyaksikan persaingan 16 pasukan sahaja.

Bagaimanapun, Melaka United dan Sarawak United boleh mempertimbangkan untuk membuat rayuan sehingga tarikh 19 Oktober 2022, sebelum atau pada jam 5 petang.

“kalau dua pasukan tidak menerima lesen, kita akan kekal dengan format 16 pasukan, sama seperti perancangan musim 2024 di mana kita ada 16 pasukan tahun 2023, jikalau kedua-dua pasukan gagal dalam proses rayuan, kita akan kekal dengan format 16 pasukan Liga Super.

“Jika ada bahan bukti yang terlepas pandang ketika proses penilaian dibuat, dokumen itu boleh diambil kira, tetapi jika ia adalah dokumen baharu dihantar selepas tarikh tutup atau tarikh keputusan dibuat, dalam tempoh 7 hari, tiada dokumen tambahan boleh diberikan, keputusan yang akan dibuat adalah berdasarkan dokumen yang telah diserahkan sebelum itu, keputusan badan rayuan adalah untuk memperbetulkan keputusan yang telah dibuat FIB berdasarkan dokumen sedia ada,” kata Stuart Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL.

Berdasarkan perkongsian yang dibuat MFL dan “First Instance Body”, FIB, Melaka United gagal untuk melengkapkan tiga dokumen di bawah kriteria kewangan, sementara situasi Sarawak United lebih parah selepas gagal untuk memuat naik atau berlaku kesilapan ketika menghantar dokumen membabitkan 18 perkara di bawah kriteria infrastruktur, kesukanan dan juga kewangan.

Situasi Sarawak United agak parah kerana mempunyai dua kes FIFA membabitkan dua pemain import, Sandro Da Silva Mendonca dan Taylor Francis George Regen apabila diarahkan untuk membayar tunggakan gaji sehingga mencecah angka RM800 ribu.

Dan sekiranya kedua-dua pasukan gagal dalam rayuan, Melaka United dan Sarawak United masih boleh bermain dalam Liga M3, cuma ia bergantung kepada penganjur sama ada untuk menerima penyertaan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga M3 musim depan.

Dengan saingan Liga Super musim ini hanya berbaki satu perlawanan, posisi Melaka United dan Sarawak United kekal di kedudukan ke 10 dan 11 liga selepas masing-masing hanya mengumpul 18 dan 14 mata.

FOTO: logo MFL

Loading...
Terkini