comscore
Tumpuan :
Sukan

‘Mickey’ ada peluang menang  Anugerah Gol Terbaik  Piala Asia 2023

Lapan pemain yang bersaing untuk dianugerahkan penjaring gol terbaik Piala Asia 2023. (Foto dan sumber ihsan FAM)

KUALA LUMPUR: Penggempur berbisa Harimau Malaya, Faisal Halim berpeluang cerah untuk merangkul anugerah gol terbaik kejohanan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar baru-baru ini.

Berdasarkan semakan Arena Metro sehingga jam 1 petang tadi mendapati Faisal yang mesra di panggil ‘Mickey’  kini jauh meninggalkan nama besar lain yang turut tercalon dalam anugerah terbabit.

Ketika ini, Faisal yang juga pemain Selangor FC memperoleh 62 peratus undian iaitu jauh meninggalkan calon lain antaranya pemain Jordan, Mousa Al Tamari (27 peratus), tonggak Korea Selatan, Son Heung-min (6 peratus) dan bintang Iran Sardar Azmoun (4 peratus).

Pemain lain seperti Keito Nakamura (Jepun), Abdulrahman Ghareeb (Arab Saudi), Hassan Al Haydos (Qatar) dan pemain Thailand, Supachok Sarachat sehingga kini belum lagi mendapat sebarang undian.

Mengikut rekod, pemain berusia 26 tahun itu meledak jaringan menarik selepas berjaya memperdaya pemain Korea Selatan yang dilabel antara pertahanan tengah terbaik dunia yang juga pertahanan terbaik Serie A 2022/23, Kim Min Jae di Stadium Al Janoub, 25 Januari lalu.

Faisal juga berjaya menampilkan ketenangan dan kebijaksanaan mengelirukan  penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon Woo sebelum meledak gol pertama Malaysia.

Aksi berdepan Korea Selatan menjadi tumpuan dengan Harimau Malaya berjaya mengikat pasukan di ranking 22 dunia itu 3-3 selepas tewas dalam dua aksi awal kepada Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1).

Sebanyak 132 gol dihasilkan dalam 51 perlawanan sepanjang Piala Asia 2023 membabitkan aksi peringkat kumpulan hingga ke final.

Undian memilih gol terbaik Piala Asia kini dibuka menerusi laman sesawang https://www.the-afc.com dan tarikh tutup adalah pada Ahad ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini