comscore
Tumpuan :
Sukan

Misi getir Harimau Malaya B23 buru tiket automatik ke pusingan akhir Piala Asia di Qatar

Persiapan terakhir  skuad Harimau B23 menjelang pertemuan menentang Thailand esok. – Foto: FAM/Facebook

CHONBURI: Selepas dua kemenangan berturut-turut, ujian sebenar buat skuad Harimau B23 berdepan tuan rumah, Thailand malam esok.

Aksi terakhir Kumpulan H ini menjanjikan pertemuan menarik dengan kedua-dua pasukan memburu tiga mata untuk bergelar juara kumpulan, sekaligus mara automatik ke Pusingan akhir Piala Asia di Qatar tahun hadapan.

Selepas dua perlawanan Malaysia dan Thailand masing-masing terikat enam mata namun Thailand berada di tangga teratas berdasarkan kelebihan jaringan.

16 pasukan iaitu juara setiap 11 kumpulan dan empat naib juara terbaik beserta tuan rumah Qatar akan layak ke pusingan akhir.

Misi buru tiga mata skuad Harimau B23 untuk tiket automatik ke pusingan akhir Piala Asia di Qatar. – Foto: FAM/Facebook

Dua perlawanan awal, Malaysia mengalahkan Bangladesh 2-0 dan Filipina 4-0 manakala Thailand menewaskan Filipina 5-0 dan Bangladesh 3-0, bermakna Thailand mengumpul 8 gol, dua gol mengatasi Malaysia.

Ketajaman T Saravanan, Alif Ikmalrizal Anuar dibantu Fergus Tierney di bahagian serangan paling diharapkan selain kebijaksanaan Mukhairi Ajmal mengemudi jentera tengah.

Jurulatih E Elavarasan juga pasti sudah merangka sesuatu dengan kehadiran dua pemain yang berpangkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine untuk memerangkap lawan.

Begitupun bukan tugas mudah berdepan Thailand yang pasti ditunjangi sorakan padu penyokong yang dijangka membanjiri Stadium Chonburi.

Perlawanan Malaysia menentang Thailand dijadual berlangsung jam 9.30 malam esok.

Loading...
Terkini