comscore
Tumpuan :
Sukan

Misi serampang dua mata Terengganu FC

Steinbrückner dan Habib bersama pemain dan jurulatih Stallion selepas sidang media pra perlawanan di Manila. – FOTO Facebook Terengganu FC

MANILA: Ada misi penting yang mengiringi Terengganu FC pada aksi keempat menentang kelab Filipina, Stallion Laguna FC di arena lawan petang esok.

Selain mahu mempertahankan rekod satu-satunya pasukan yang belum kalah pada saingan Kumpulan G, kelab bimbingan Tomislav Steinbrückner itu  juga mahu meraih mata untuk memastikan laluan ke pusingan berikutnya.

“Setiap perlawanan amat penting buat kami, kami menjangkakan perlawanan sengit sebagaimana aksi pertama  di tempat sendiri, kami menyedari Stallion pasukan yang baik,” kata jurulatih kelahiran Croatia itu.

Pada perlawanan di Stadium  Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 26 Oktober, kedua-dua pasukan terikat dua sama, menyaksikan Terengganu bangkit selepas ketinggalan dua gol.

Tonggak Terengganu FC, Habib Haroon sekali lagi menjadi sandaran utama Terengganu selain mengekang pergerakan kawasan tengah tuan rumah.

“Sebagaimana kata jurulatih, semua perlawanan adalah penting, saya hanya fokus untuk melakukan yang terbaik buat pasukan,” kata pemain yang berasal dari Bahrain itu.

Pertemuan Terengganu FC menentang Stallion dijadual berlangsung di Stadium Bola sepak Binan, jam empat petang esok.

Selepas tiga perlawanan Terengganu kini di tangga kedua Kumpulan G mengumpul lima mata, satu mata di belakang kelab Australia, Central Coast Mariners.

Stallion di tangga keempat dengan satu mata, tiga mata dipisahkan daripada pasukan di tangga ketiga Bali United.

Loading...
Terkini