comscore
Tumpuan :
Sukan

Misi Wajib Menang TFC Ke Atas Sabah

KUALA TERENGGANU: Misi wajib menang menjadi buruan Terengganu FC (TFC) menentang Sabah FC pada aksi terakhir Liga Super di laman sendiri musim ini sebelum bertandang ke tempat lawan dalam tiga aksi seterusnya.

Justeru, pengendali skuad Penyu, Nafuzi Zain menuntut anak buahnya menggunakan segala kudrat dan pengalaman yang ada untuk mengutip tiga mata pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini bagi mengintai peluang mendaki tangga ketiga liga.

“Kita tiada pilihan, kecuali perlu merakam kemenangan untuk mengutip tiga mata menentang Sabah FC bagi mengumpul 12 mata maksimum daripada empat perlawanan dalam misi memburu tiga tempat teratas Liga Super.

“Kekalahan 1-2 kepada Sabah FC di tempat lawan tempoh hari perlu dijadikan pengajaran berguna buat pemain lebih-lebih lagi aksi terakhir dalam saingan Liga Super di tempat sendiri musim ini.

“Namun pemain perlu waspada dengan kebangkitan skuad itu kerana bagi saya kekuatan mereka terletak kepada pemainnya yang mempunyai pengalaman yang luas, jadi sudah tentu bukan perlawanan yang mudah biarpun beraksi di tempat sendiri.

“Apa-apapun harap pemain perlu berjuang habis-habisan di depan penyokong sendiri dengan fokus untuk mengutip tiga mata penuh,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini.

Ketika ditanya adakah perlawanan menentang skuad The Rhinos kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bakal menjadi penentu pasukannya untuk menamatkan saingan liga di tempat ketiga, Nafuzi menafikannya.

Katanya, masih ada tiga perlawanan lagi selepas itu iaitu menentang Melaka United FC, Kuala Lumpur City FC dan terakhir Kedah Darul Aman FC selepas dengan semuanya beraksi di tempat lawan.

“Pada saya perlawanan terakhir akan jadi penentuan pasukan mana yang layak beraksi di pentas Asia nanti,” katanya yang mengakui ceria kerana beliau mempunyai banyak pilihan untuk memilih pemain terbaiknya selepas semua bebas daripada kecederaan dan penggantungan perlawanan.

TFC ketika ini menghuni tangga keempat liga dengan mengumpul 32 mata, satu mata di belakang Negeri Sembilan FC (keempat) manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) gah di persada liga dengan 43 mata, diikuti Sabah FC dengan 36 mata. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini