comscore
Tumpuan :
Sukan

MOM terima keputusan CGF

Datuk Nazifuddin Najib menerima hakikat bahawa Glasgow 2026 akan menjadi lebih ringan dan ringkas. – FOTO: NSTP.

KUALA LUMPUR: Tiada apa yang mampu dilakukan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selain akur dengan keputusan tuan rumah Sukan Komanwel 2024 di Glasgow yang tidak mempertandingkan sukan-sukan utama seperti badminton, terjun, hoki dan skuasy atas sebab faktor kewangan.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib, menyatakan bahawa langkah ini adalah tidak dapat dielakkan, memandangkan jangka masa dan keperluan untuk memperkecilkan temasya berkenaan selepas penarikan diri Victoria tahun lalu.

“Fokusnya adalah untuk mencipta temasya yang dapat dilaksanakan dengan kualiti tertinggi tetapi keadaan lebih mampan dari segi kewangan.

“Dalam meneruskan usaha ini, perlu diutamakan apa yang paling penting bagi atlet dan sukan. Oleh itu, kami menerima hakikat bahawa Glasgow 2026 akan menjadi lebih ringan dan ringkas berbanding temasya sebelum ini, walaupun dengan mengorbankan sukan yang kita kuat seperti badminton, terjun, hoki dan skuasy,” kata Nazifuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) hari ini secara rasmi mengesahkan Glasgow sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026, yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga Ahad, 2 Ogos 2026, kembali ke bandar itu 12 tahun selepas edisi 2014 yang sangat berjaya.

Glasgow, yang mengambil alih selepas kerajaan Malaysia menolak tawaran untuk menggantikan Victoria, akan menampilkan program 10 sukan tertumpu di empat lokasi dalam koridor sepanjang lapan batu (12.8 kilometer).

Sekitar 3,000 atlet terbaik dari 74 negara dan wilayah Komanwel mewakili 2.5 bilion orang – satu pertiga daripada populasi dunia dijangka akan mengambil bahagian.

Terjun, memanah, badminton, kriket T20, hoki, mendayung, ragbi tujuh sebelah dan skuasy adalah antara sukan yang tidak akan dipertandingkan dalam edisi yang diperkecilkan itu.

10 sukan yang akan dipertandingkan adalah renang, olahraga, bola keranjang 3×3, tinju, berbasikal trek, gimnastik, judo, boling padang, bola jaring dan angkat berat.

Terdapat juga acara para dalam enam sukan berkenaan seperti – renang, olahraga, bola keranjang, berbasikal trek, boling padang dan angkat berat, sebagai keutamaan utama dan titik perbezaan bagi temasya kali ini.

Nazifuddin juga menambah bahawa edisi 2026 bertujuan untuk mendefinisikan semula temasya sebagai model yang benar-benar kolaboratif, fleksibel dan mampan untuk masa depan yang meminimumkan kos, mengurangkan jejak alam sekitar dan meningkatkan impak sosial.

“Dalam melakukannya, ia akan meningkatkan skop negara yang mampu menjadi tuan rumah.

“Temasya 2026 akan menjadi peluang untuk menetapkan pelan tindakan baharu bagi masa depan sukan Komanwel yang mampan dan boleh diakses – dan tidak seharusnya mengejutkan bahawa versi diperkecilkan ini datang dengan mengorbankan kekuatan kita.

“MOM akan membincangkan strategi yang diperlukan untuk menghadapi isu-isu ini dengan pihak berkepentingan yang relevan, termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA),” kata Nazifuddin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini