comscore
Tumpuan :
Sukan

Momota bawa Jepun jumpa Malaysia di separuh akhir BATC

Momota raih mata kemenangan 3-2 Jepun untuk bertemu Malaysia pada separuh akhir BATC esok. – FOTO: Reuters

SHAH ALAM: Malaysia akan menentang Jepun pada saingan separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Pusat Konvensyen Setia City, di sini esok.

Jepun mara selepas menewaskan India 3-2 pada aksi suku akhir yang cukup sengit sebentar tadi.

Mendahului 1-0 menerusi perseorangan pertama Kenta Nishimoto yang mengalahkan H.S Prannoy 21-16, 26-24, Jepun bagaimanapun kembali disaingi India yang menyamakan kedudukan menerusi beregu Satwiksairaj Rankireddy -Chirag Shetty.

Satwiksairaj -Chirag mengalahkan gandingan Kenya Mitsuhashi – Hiroki Okamura 21-15, 21-17.

Giliran India di depan selepas perseorangan kedua, Lakshya Sen menewaskan Koki Watanabe 21-19, 22-20.

Saingan tambah menarik apabila kedudukan kembali terikat, Jepun pula menyamakan kedudukan 2-2 hasil kemenangan beregu kedua Akira Koga-Kazuki Shibata yang menundukkan M.R Arjun – Dhruz Kapila 21-17, 21-15.

Debaran kian memuncak apabila Kento Momota berdepan Kidambi Srikanth untuk mata kemenangan ke separuh akhir.

Tewas 17-21 pada set pertama, Momoto bangkit dengan permainan lebih kemas dan  mudah mengatasi Kidambi 21-9 pada set kedua.

Set penentuan, seharusnya Kidambi memastikan kemenangan India apabila selesa mendahului pada satu ketika…

Namun Momota bekas pemain nombor satu dunia menampilkan semangat juang kental menamatkan set penentuan 22-20 pada pertarungan yang memakan masa 1 jam 17 minit.

Pada satu lagi separuh akhir esok China akan menentang Korea Selatan.

China mara selepas mengalahkan Indonesia 3-2 manakala Korea Selatan mengatasi Taiwan, juga 3-2.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini