comscore
Tumpuan :
Sukan

MotoGP Malaysia 2022 Tetap Meriah

Suasana ceria penonton yang menyaksikan perlumbaan MotoGP 2022 di Litar Antarabangsa Sepanf, Ahad lalu. – Foto: BERNAMA

SEPANG: Grand Prix Motosikal Malaysia masih mendapat sokongan penuh daripada peminat sukan pemotoran tanah air, apabila Litar Antarabangsa Sepang, SIC berjaya menarik seramai 163,567 penonton bagi menyaksikan perlumbaan yang berlangsung selama tiga hari.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, setelah beberapa bulan pihaknya bertungkus-lumus membuat perancangan rapi untuk menganjurkan kembali GP Malaysia, akhirnya kerja keras itu ternyata berbaloi.

“Alhamdulillah, sekarang GP Malaysia sudah pun berakhir. Saya rasa semua dapat lihat di Grandstand ramai yang datang hari ini (kelmarin) memberi sokongan padu kepada perlumbaan tahun ini.

“Insya’Allah, tahun depan kita akan buat lagi terbaik, jadi, untuk ketiga-tiga hari apa yang kita isytihar kepada Dorna ialah lebih 163,000 orang penonton telah hadir, itupun jumlah tersebut kita catat pada pukul 2 petang.

“Selepas waktu itu sebenarnya masih ramai hendak masuk dan saya merasakan kedatangan orang ramai secara keseluruhan berjaya capai 170,000, tetapi kita perlu isytihar pada pukul 2 petang,” katanya pada sesi sidang media selepas tamat GP Malaysia di sini, kelmarin.

Sebelum ini, SIC menerima tekanan ekoran jualan tiket yang agak perlahan selepas dua tahun negara ini tidak menganjurkan GP Malaysia, selain cukai hiburan yang dikenakan dan faktor ketiadaan pelumba negara secara tetap.

Menurut Shafriman, untuk hari perlumbaan sahaja iaitu pada Ahad, jumlah penonton yang membanjiri SIC ialah 88,615 orang.
Mengulas pula tentang kalender kejuaraan motosikal dunia yang berubah pada tahun depan, beliau menjelaskan, Dorna (pemegang hak siaran MotoGP) merancang untuk datang ke Sepang pada September, tetapi selepas rundingan, tarikh telah dianjakkan kepada 12 November.

“Jadi, kita akan menjadi perlumbaan ketiga terakhir sebelum Qatar dan Valencia. Untuk tahun akan datang, mungkin kita akan bincang balik, dapatkan kembali pusingan kedua terakhir supaya SIC berada di kedudukan yang bagus,” ujarnya.

Bercakap pula tentang pelumba ZK Racing, Syarifuddin Azman atau Damok yang disahkan akan berlumba secara tetap musim depan, Shafriman yakin sokongan yang diberikan rakyat Malaysia akan lebih baik pada 2023.

Loading...
Terkini