comscore
Tumpuan :
Sukan

MPM juga bertanggungjawab, tidak perlu menuding jari kepada sesiapa – MSN

SEPANG: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Rashid Yaakub kesal dengan kenyataan dikeluarkan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berhubung pencapaian atlet para negara pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang berakhir Ahad lepas.

Beliau berkata atlet negara mesti diberikan sokongan pada setiap masa tanpa menghiraukan keputusan sama ada mereka menang atau kalah, tidak perlu menuding jari kepada sesiapa apabila sasaran tidak tercapai di temasya sukan yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September itu.

 

Abdul Rashid berkata tidak timbul isu MSN campur tangan dan ‘membuli’ Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Paralimpik Paris 2024 Datuk R.Subramaniam seperti didakwa Megat D Shahriman kerana semua keputusan diambil selepas perbincangan bersama, malah MSN tidak pernah menghalang apa jua diputuskan MPM.

“Saya lebih kesal kerana yang mula-mula menetapkan sasaran adalah MPM, tetapi apabila tidak dicapai, tidak perlu menuding jari dengan mencari kesalahan sebelum temasya berakhir. MSN tak kata tidak bertanggungjawab, MPM juga bertanggungjawab tetapi tidak perlu menuding jari kepada sesiapa.

“Bagi saya kenyataan itu sangat melulu, melampau dan tergesa-gesa. Pada malam Datuk Abdul Latif Romly terlepas emas dan meraih perak, malam itu juga ada kenyataan begini, pada hal hampir setiap hari kita bertemu dan bincang di Perkampungan Sukan,” katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan kontinjen negara dari Sukan Paralimpik Paris 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini malam tadi.

Kontinjen negara yang berlepas ke Paris dengan sasaran empat pingat emas, membawa pulang dua emas, dua perak dan satu gangsa.

Pingat emas disumbangkan pemain badminton perseorangan lelaki Cheah Like Hou dalam acara SU5 (kecacatan fizikal) dan Bonnie Bunyau Gustin dalam acara powerlifting 72 kilogram (kg) lelaki.

Pingat perak pula masing-masing disumbangkan Abdul Latif dalam acara lompat jauh T20 lelaki (kecacatan intelektual) dan Muhammad Ziyad Zolkefli bagi acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual), manakala Eddy Bernard meraih gangsa 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).

Terdahulu, Megat D Shahriman mendakwa MSN terlibat campur tangan dalam pengurusan kontinjen negara di Sukan Paralimpik Paris 2024, sekali gus menjadi antara faktor kegagalan Malaysia mencapai sasaran empat pingat emas.

Megat D Shahriman juga mahu mengadakan perbincangan bersama MSN bagi mencadangkan agar hanya satu pihak mengetuai kontinjen negara pada mana-mana temasya sukan akan datang.

Abdul Rashid berkata walaupun kurang sebutir emas pada temasya kali ini berbanding edisi lepas, pencapaian kem negara tidak begitu merudum apabila jumlah pingat kekal lima seperti edisi di Tokyo 2020 apabila meraih tiga emas dan dua perak, selain membawa pulang tiga emas dan satu gangsa di Rio 2016.

Sementara itu, Subramaniam turut menafikan terdapat unsur buli terhadap beliau yang hanya menjalankan tugas sebagai CDM.

“Dia mungkin mempunyai pendapat sendiri. Bagi saya, saya bercakap sebagai CDM, tugas saya adalah membawa pasukan menyelesaikan misi di sana dan membawa mereka pulang dengan selamat, dan saya telah melakukannya. Kami tidak kalah dalam peperangan, kami hanya kalah dalam pertempuran di Paris, dan pasti ada hari lain untuk kami bangkit semula.

“Pada pandangan saya apa yang dia (Megat D Shahriman) cuba katakan adalah untuk penambahbaikan sistem. Dia mahu menambah baik sistem,” katanya.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini