Tumpuan :
Sukan

MSN sedang pertimbang insentif khas skuad boling negara

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Majlis Pelancaran Liga Bola Jaring Kebangsaan hari ini. – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) sedang mempertimbangkan insentif khas buat skuad boling negara yang melakar pencapaian cemerlang di Piala Dunia Boling IBF (Persekutuan Boling Dunia) di Kowloon, Hong Kong awal bulan ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, meskipun kejohanan terbabit tidak dicadangkan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) sebagai dua kejohanan tertinggi badan induk sukan itu, untuk diberi insentif Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), MSN bagaimanapun sudah diarahkan untuk mempertimbangkannya.

“Selalunya setiap persatuan sukan akan menghantar senarai kejohanan kepada MSN bagi pemberian insentif. Namun, apabila ada kejohanan tambahan yang tidak tersenarai dalam senarai itu, pertimbangan perlu dibuat oleh MSN sekali lagi sama ada, bajet mencukupi atau tidak.

“Untuk Natasha (Roslan) dan boling (pasukan boling lelaki), MSN sedang pertimbangkan sekarang, begitu juga seperti sepak takraw (tahun lalu),” kata Hannah ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Liga Super Bola Jaring (NSL) di sini, hari ini.

Di Piala Dunia, skuad boling negara merangkul dua gelaran juara dan dua naib juara.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan cemerlang itu, barisan pemain negara tidak layak menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kerana kejohanan Piala Dunia tidak berada di bawah senarai SHAKAM yang dihantar Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTCB) kepada MSN.

MSN hanya membenarkan memilih dua kejohanan untuk skim SHAKAM dengan MTBC memilih Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia.

Pada tahun lalu, skuad sepak takraw lelaki negara turut berdepan situasi sama ketika memenangi dua pingat emas (antara regu dan double) dan satu perak (berpasukan) pada saingan Piala Dunia di Kuala Lumpur tetapi menerima insentif khas keseluruhan sebanyak RM170,000.

Ia adalah insentif khas daripada MSN atas budi bicara Hannah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini