comscore
Tumpuan :
Sukan

“Muka baharu yang lebih segar mungkin diperlukan ketika ini” – Rashid

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) disaran melakukan perubahan yang lebih segar dalam barisan kejurulatihan khususnya bagi acara perseorangan lelaki.

Menurut bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Rashid Sidek, prestasi barisan pemain perseorangan lelaki yang bernaung di bawah badan induk itu boleh menjadi indikasi mengapa perubahan perlu dibuat.

“Jika bahagian lain boleh bertukar, kita sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk membuat perubahan di bahagian perseorangan lelaki.

“Seperti kita tahu, sudah lama jurulatih di bahagian perseorangan lelaki tidak berubah. Jadi saya percaya yang muka baharu yang lebih segar mungkin diperlukan ketika ini.

“Kadang kala ia juga penting kepada pemain kerana jika sudah terlalu lama, mereka juga sudah selesa,” katanya.

Mengulas lanjut, Rashid yang pernah menjadi jurulatih bersama badan induk itu menegaskan sebagai jurulatih, mereka perlu membuktikan kualiti yang dimiliki dengan menunjukkan ‘hasil.’

“Paling utama adalah ketua jurulatih. Bagi saya sebagai jurulatih utama, mereka sepatutnya tak memerlukan masa untuk menunjukkan keputusan, dua atau tiga tahun dan kemudian perlu menilai kembali.

“Ini kerana kita tahu yang mereka memang dibayar dengan gaji yang tinggi agar dapat menghasilkan keputusan yang bagus. Jadi jika prestasi tidak seperti diharapkan, perubahan perlu dibuat, sama seperti sukan lain juga,” katanya.

Ketika ini, pemain terbaik negara dalam kategori perseorangan lelaki diisi Lee Zii Jia yang menghuni ranking kelima dunia tetapi pemain berkenaan sudah bergerak secara profesional.

Justeru, jurang pemain terbaik negara di bawah badan induk itu adalah Leong Jun Hao yang menghuni ranking ke-27 manakala seorang lagi pemain, Ng Tze Yong mengisi ranking ke-18 selepas dipalit isu kecederaan.

Sebagai rekod, BAM ketika ini mempunyai dua jurulatih iaitu ketua jurulatih, Hendrawan yang mula memegang tugas pada 2009 dan dibantu dua jurulatih, Datuk Tey Seu Bock yang sudah berada di badan induk itu sejak 2002.

Seorang lagi jurulatih yang ditugaskan membimbing perseorangan lelaki adalah James Chua namun bekas pemain kebangsaan itu sah akan meninggalkan BAM berkuat kuasa 1 Oktober ini dan menjadi ketua jurulatih Republik Czech.

Persoalan membabitkan penstrukturan barisan kejurulatihan di BAM timbul selepas badan induk itu mengeluarkan iklan jawatan kosong bagi posisi jurulatih perseorangan lelaki pada Mei lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini