comscore
Tumpuan :
Sukan

“Mungkin ada, mungkin tidak ada jurulatih baharu” – BAM

KUALA LUMPUR: Nasib jurulatih dibawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang akan tamat kontrak pada Disember depan masih menjadi tanda tanya sama ada terus berbakti bersama badan induk kebangsaan itu atau sebaliknya.

Ini kerana BAM masih belum mempunyai keputusan akhir berkenaan perkara itu.

Tumpuan sudah pasti lebih terarah kepada jurulatih perseorangan lelaki selepas badan induk itu mengiklankan jawatan kosong kepada orang ramai yang berminat menggalas tanggungjawab itu dalam usaha membentuk pemain negara kembali ke prestasi tertinggi.

Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam berkata, ketika ini pihaknya masih dalam perbincangan untuk melihat dalam pelbagai aspek termasuk sama ada memerlukan jurulatih baharu atau tidak.

“Ia perkara biasa apabila sampai masa (kontrak tamat), kita akan lihat semula dan kaji dari pelbagai sudut segala keperluan itu. Kalau boleh semua hendak sambung. Apa pun tunggu keputusan kerana kita masih dalam perbincangan.

“Mungkin ada, mungkin tidak ada (jurulatih baru). Kita perlu bincang perkara ini secara terperinci dan tidak boleh buat keputusan terus sebab kita ada pasukan dan pihak pengurusan. Jadinya kami berbincang pelbagai aspek demi kebaikan BAM.

“Berkenaan permohon jawatan jurulatih, ada yang berminat tetapi belum ada keputusan dan siapa yang berminat boleh memohon,” katanya.

Selain itu, ketika ditanya berkenaan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysa (ABM), Rexy Mainaky yang bakal melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan, pihaknya mengambil maklum berkenaan perkara itu.

“Kita dalam proses perbincangan dan kita kena dengar daripada semua pihak. Selepas itu kita kena bincang lagi untuk ambil satu keputusan yang terbaik,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini