Tumpuan :
Sukan

Nafuzi pasrah hanya 12 pemain KDA FC ‘sanggup’ berdepan KL City FC

KDA FC hanya memiliki 11 pemain dan seorang pemain simpanan untuk diturunkan bagi berdepan KL City FC untuk aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia. FOTO KDA FC

ALOR SETAR: Sekalipun berdepan dengan situasi di luar jangkaan berikutan penarikan diri sebahagian pemain utama, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berjaya bangkit menewaskan skuad KL City FC 3-2 pada aksi pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Darul Aman semalam.

Lebih mengejutkan ketua jurulatih, Nafuzi Zain adalah keputusan penarikan diri itu dibuat pada saat akhir sebelum beraksi yang memaksa Nafuzi menggunakan hanya 12 pemain pada aksi pertama saingan berprestij itu di hadapan ribuan penyokong yang hadir dengan harapan mahu melihat Sang Kenari mencapai kemenangan.

Pada aksi itu, KDA FC bagaimanapun berjaya bangkit dengan dua jaringan menerusi kapten, Sony Norde dan satu gol sumbangan Sukhrov Nurulloev sementara KL City FC pula memperolehi gol hasil jaringan Ryan Lambert dan Jovan Motika.

Menurut Nafuzi, beliau tiada pilihan selain menagih kudrat baki 12 pemain sahaja sebaik mendapati sebahagian pemain memilih untuk tidak turun beraksi difahamkan berkaitan masalah tunggakan gaji yang masih membelenggu pasukan sejak beberapa bulan yang lalu.

“Saat akhir sebelum kami melakukan aksi memanaskan badan, ada keputusan daripada sebahagian pemain utama yang tidak ingin beraksi.

“Saya berbincang dengan baki 12 pemain yang ada kerana saya nyatakan saya perlukan pemain untuk beraksi. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk turun bermain dimana itulah pemain yang kita lihat semasa perlawanan ini.

“Saya cuma bertawakal, berusaha serta berserah kepada Allah dengan apa yang kami termampu untuk menentang KL City FC yang saya anggap lebih lengkap berbanding kami.

“Kita dapat lihat mereka tunjukkan semangat berpasukan yang baik kerana kita tahu KL City FC lebih baik dari segi fizikal, dan itu yang buat saya terharu,” katanya.

Selain Norde dan Nurullaev, pemain lain yang sanggup beraksi antaranya Irfan Zakaria, Jose Cleylton, Kamil Akmal, Ebenezer Assifuah, Loqman Hakim, Aiman Afif, Hasbullah Abu Bakar, Wan Mohamad Syazmin dan Muhammad Akmal Hakim.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini