Tumpuan :
Sukan

Nafuzi sah letak jawatan, tinggalkan KDA FC

Nafuzi Zain letak jawatan sebagai ketua jurulatih KDA FC. Foto Ihsan FB KDA FC

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman (KDA) FC mengesahkan bahawa pihak pengurusan kelab itu telah menerima permohonan peletakan jawatan daripada ketua jurulatih, Mohd Nafuzi Zain, hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Shahrul Samsudin berkata permohonan itu telah diperhalusi oleh pemilik, ahli lembaga pengarah serta pengurusan kelab terbabit.

Beliau berkata permohonan peletakan jawatan oleh pengendali kelahiran Kelantan itu diterima dengan rasa berat hati, namun penuh rasa hormat.

“Sejak bersama pasukan pada Disember 2022 hingga sekarang, beliau (Mohd Nafuzi) telah menunjukkan mutu kerja yang sangat tinggi, komited serta jitu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Shahrul berkata kejayaan meraih tempat keempat Liga Super 2023 pada tahun pertama Mohd Nafuzi bersama-sama pasukan serta peringkat Separuh Akhir Piala FA 2024, adalah pencapaian terbaiknya semasa bersama pasukan hijau kuning.

KDA FC, katanya mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Mohd Nafuzi selama ini dan mendoakan agar beliau berjaya dalam perjalanan kariernya pada masa akan datang.

“Pihak pemilik, ahli lembaga pengarah serta pengurusan KDA FC juga mengumumkan bahawa Victor Andrag dilantik menjadi Ketua Jurulatih Interim pasukan Liga Super Kedah bermula 25 November.

“Pihak pengurusan akan menilai serta membuat keputusan dari semasa ke semasa mengenai calon ketua jurulatih pasukan yang tetap berikutnya, mengikut keperluan pasukan untuk bersaing dalam baki kancah Liga Malaysia 2024/2025,” katanya.

Baru-baru ini timbul desas-desus mengatakan bahawa Mohd Nafuzi bakal menggalas tugas sebagai ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.

Mohd Nafuzi mula membimbing Kedah pada 2023 setelah meninggalkan Terengganu FC, selepas tiga musim bergelar ketua jurulatih pasukan dari Pantai Timur itu. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini