KUALA LUMPUR: Bekas ketua jurulatih badminton Denmark, Kenneth Jonassen dilapor menjadi pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih perseorangan negara yang baharu.
Jurulatih berusia 50 tahun itu dikatakan memikul dua tanggungjawab iaitu sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki dan wanita.
Jonassen memiliki reputasi besar selaku jurulatih apabila menjadi watak penting terhadap kejayaan yang dilakar pemain nombor satu Denmark, Viktor Axelsen.
Di bawah bimbingannya, Axelsen berjaya memenangi pingat emas Olimpik sulung di Tokyo pada 2021 selain turut membantu pemain itu memenangi gelaran dunia pada 2017 di Glasgow, Scotland.
Malah, Jonassen bertanggungjawab membentuk pemain bertaraf dunia seperti Anders Antonsen dan Rasmus Gemke.
Selaku ketua jurulatih perseorangan, Jonassen akan dibantu dua jurulatih, K Yogendran dan Alvin Chew dalam perseorangan lelaki manakala Jeffer Rosobin dan Misbun Ramdan Misbun akan membantu dalam perseorangan wanita.
Berdasarkan senarai pemain bagi musim 2025 yang diumumkan BAM sebelum ini, skuad kebangsaan kini hanya dibarisi empat pemain perseorangan lelaki iaitu Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Ewe dengan dua lagi pemain akan diserapkan daripada skuad remaja.
Pemain perseorangan wanita juga terdiri daripada empat pemain iaitu K Letshanaa, Wong Ling Ching, Oo Shan Zi dan Siti Zulaikha Azmi.
Jonassen akan diberikan kontrak selama empat tahun sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Selain Jonassen, BAM sebelum ini turut mempertimbangkan empat lagi calon lain bagi menggalas tugas ketua jurulatih perseorangan negara termasuk jurulatih dari Indonesia, Mulyo Handoyo dan Fernando Rivas dari Sepanyol.
Mulyo, terkenal dengan ‘air tangannya’ yang melahirkan legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat sehingga memenangi pingat emas Sukan Olimpik Athens 2004 sebelum menjadi juara dunia setahun kemudian di Anaheim, Amerika Syarikat.
Rivas pula adalah jurulatih perseorangan wanita Sepanyol, Carolina Marin yang bertanggungjawab membantu pemain itu memenangi emas Olimpik Rio 2016 selain tiga gelaran dunia bermula 2014 di Copenhagen, Denmark, 2015 (Jakarta, Indonesia) dan 2018 (Nanning, China).
Terdahulu, Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam memaklumkan badan induk itu akan mengumumkan pelantikan ketua jurulatih perseorangan negara yang baharu pada 25 November ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.