comscore
Tumpuan :
Sukan

Nasib Nafuzi Diketahui 2 Minggu Lagi

FOTO: Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar/Facebook

KUALA TERENGGANU: Nasib ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain sama ada kekal menduduki kerusi itu ataupun sebaliknya musim depan bakal diketahui selepas sambutan perayaan Deepavali dua minggu lagi.

Perkara itu dimaklum Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyatakan setakat ini belum ada lagi keputusan muktamad berhubung kedudukan jurulatih muda itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, kedudukan jurulatih yang sudah tiga musim membimbing skuad Penyu itu akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd.

Justeru beliau mengharapkan semua peminat setia skuad Penyu bersabar selain tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) belum lagi melabuhkan tirainya.

“Berhubung kedudukan jurulatih TFC (Nafuzi), kita tengok perkembangan semasa apa yang berlaku, macam pasaran saham ada turun naik, apa jua kita akan tangani dengan cara yang terbaik perkembangan itu sama ada positif ataupun negatif.

“Namun setakat ini belum ada apa-apa lagi keputusan berhubung kedudukan jurulatih itu kerana kita tidak mahu memberi tekanan tertentu dalam keadaan sekarang.

“Kedudukan jurulatih itu (kekal ataupun sebaliknya) akan dibincangkan pada 25 Oktober ini dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan trofi kepada pasukan Besut FA selepas berjaya merangkul kejuaraan dalam Liga Bolasepak Terengganu (TFL) 2022 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Terdahulu Nafuzi membayangkan musim ini adalah tahun terakhirnya membimbing skuad Penyu selepas sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang tawaran lanjutan kontrak daripada pihak pengurusan sekali gus menimbulkan persoalan selain desas-desus mengaitkan perpindahannya ke Kedah musim depan.

Dalam perkembangan lain, Dr Ahmad Samsuri berkata, beliau akan berbincang dan meneliti bentuk insentif yang bakal diberikan kepada pemain TFC sekiranya layak beraksi di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan.

“Apabila ada pencapaian tertentu termasuk layak ke saingan Piala AFC, akan ada sesuatu insentif yang bakal diberikan kepada pemain, namun kami belum bincang lagi bentuk insentif itu,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini