Tumpuan :
Sukan

Natxo dan Mukhairi cedera, Vicente terpaksa panggil pemain lain

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat tonggak berpengalaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa selepas pemain itu disahkan mengalami kecederaan.

Situasi sama turut berlaku ke atas pemain tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal Mahadi yang menyaksikan tempat kedua-dua pemain itu diisi pemain lain.

Menurut pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente, beliau terpaksa memanggil dua pemain yang berada dalam senarai menunggu untuk menggantikan Natxo dan Mukhairi.

Katanya, beliau memanggil pemain Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Mohamad Fazrul Amir Md Zaman dan pemain Kuala Lumpur City FC (KL City), Zhafri Yahya.

“Mukhairi Ajmal Mahadi dari Selangor FC yang hadir melapor diri, hari ini tetapi terpaksa dilepaskan selepas pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kecederaan selepas beraksi pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia II menentang Jeonbuk Hyundai Motors pada 7 November 2024,” katanya.

Bagaimanapun, Natxo hanya menyerahkan laporan pengesahan kecederaan tanpa menemui pakar perubatan pasukan Harimau Malaya di Wisma FAM.

“Natxo Insa dari JDT yang tidak dapat melapor diri selepas disahkan menerusi laporan perubatan mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit menentang Ulsan HD pada 5 November 2024.

“Semoga Mukhairi dan Natxo cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang,” katanya.

Skuad negara memulakan kem latihan pusat hari ini sebagai persediaan menghadapi dua aksi antarabangsa Tier 1 bertemu Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November dan menentang India di Hyderabad pada 18 November ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini