comscore
Tumpuan :
Sukan

Negeri Sembilan raih tiga mata di Paroi

FOTO: Negeri Sembilan Football Club/ Twitter

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Kelantan FC 4-2, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kejayaan mengutip tiga mata itu membolehkan skuad Hobin Jang Hobin mendaki ke tangga ketujuh carta liga dengan mengumpul lapan mata.

Negeri Sembilan yang mendapat semangat baharu selepas berjaya mencatat kemenangan pertama menewaskan Terengganu FC pada perlawanan terdahulu, menembusi benteng pelawat menerusi jaringan Mahali Jasuli pada minit ke-15.

Mahali melakukan sepakan lambung mengelirukan dari luar kotak penalti dalam jarak kira-kira 25 meter yang tidak terjangkau penjaga gol Kelantan, Nik Mohd Amin Ahmad.

Bagaimanapun Kelantan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-35 menerusi sepakan penalti diambil Ismaheel Akinade, susulan pertahanan Negeri Sembilan menjatuhkan pemain pelawat, sekali gus menewaskan penjaga gol gantian, Mohd Muhaimin Mohamad.

Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Herold Mark Goulon meletak kembali Negeri Sembilan di depan menerusi jaringan pada minit ke-37 selepas dia menanduk kemas bola lencongan Mahali dari sebelah kiri, untuk tuan rumah memiliki kelebihan pada separuh masa pertama.

Kelebihan itu ternyata tidak bertahan lama apabila bersambung babak kedua, Akinade meledak gol kedua Kelantan pada minit ke 52, untuk kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Langkah K Devan memasukkan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi atau Eky pada sebahagian tempoh separuh masa kedua ternyata berbaloi apabila bekas penyerang kebangsaan itu memanfaatkan bola hantaran lintang Casagrande yang mudah menolak masuk gol ketiga Negeri Sembilan pada minit ke-75.

Gandingan Casagrande dan Eky di barisan depan dilihat terus menjadi apabila giliran Eky pula melorongkan bola untuk Casagrande yang menjaringkan gol keempat Negeri Sembilan pada minit ke-88.

Loading...
Terkini