comscore
Tumpuan :
Sukan

Netizen mahu TMJ jadi pengurus Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan tidak mustahil Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim boleh menjadi pengurus pasukan kebangsaan sekiranya perkara itu baik untuk masa depan Harimau Malaya.

Hamidin bagaimanapun menjelaskan perkara itu perlu dibincangkan bersama dengan barisan Exco FAM kerana keputusan mengenai apa sahaja dalam skuad kebangsaan adalah bukan keputusan individu.

Setakat ini, beliau turut menganggap cadangan untuk TMJ dilantik sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya datang daripada pihak lain termasuk netizen dan bukannya hadir dari mulut Tunku Ismail sendiri.

“Saya nampak dalam viral kata TMJ sebagai pengurus (Harimau Malaya), tapi saya belum dapat dengar dari suara beliau. Kalau saya tengok dari segi bloger atau netizen, itu pandangan mereka.

“Kalau kata ada (hasrat TMJ mahu jadi pengurus), ia semua perlukan perbincangan. Itu kita bincang kalau perkara itu betul dinyatakan, saya kena bawa kepada Exco.

“Jadi saya ingat buat sementara ini tak perlu nak buat spekulasi, kalau datang dari mulut beliau, saya boleh jawab dan saya perlu menghadap beliau untuk bincang. Tapi ini spekulasi daripada orang ramai.

“Saya pun baru jumpa dia, saya tak tahu. Apa pun keputusan saya atau FAM berkenaan pasukan kebangsaan, bukan keputusan peribadi. Kalau ia baik untuk pasukan kebangsaan, kenapa tidak.

“Saya nak bola sepak negara naik, itu sahaja. Kalau itu bagus, tiada yang mustahil. Bukan saja berkenaan TMJ jadi pengurus, tapi membabitkan semua elemen. Ia kerana bola sepak bukan untuk individu, ia untuk rakyat,” katanya.

Hamidin berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis kesyukuran sempena beliau dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.

Loading...
Terkini