comscore
Tumpuan :
Sukan

Neymar Janji Gol Pertama Piala Dunia Buat Bolsonaro

Neymar (kiri) secara terbuka menyokong Bolsonaro (kanan) sebagai Presiden Brazil pada pemilihan 30 Oktober ini.

BRASILIA : Penyerang Paris Saint-Germain, Neymar mengucapkan terima kasih kepada Presiden Brazil, Jair Bolsonaro kerana menyokongnya ketika saat “paling sukar” dalam kehidupannya dan berkata ia salah satu sebab untuk menyokong pemilihan semulanya.

Pemain bertaraf superstar itu membuka siaran YouTube selama 22 jam bersama Bolsonaro.

“Saya tidak pernah menyatakannya sebelum ini tetapi ketika saat paling sukar dalam hidup saya, presiden adalah orang pertama yang secara terbuka menyatakan sokongan beliau terhadap saya,” kata Neymar.

“Sekalipun kami tidak mengenali satu sama lain secara peribadi, (Bolosonaro) menunjukkan kasih sayang dan mempercayai saya, jadi saya melakukan perkara yang sama terhadapnya hari ini.”

Tanpa menyatakan detik sukar yang dimaksudkannya, Neymar mengesahkan semula sokongannya terhadap pencalonan Bolsonaro, yang akan bertanding pada pusingan kedua pilihan raya menentang bekas presiden, Luiz Inacio Lula da Silva atau lebih dikenali sebagai Lula pada 30 Oktober ini.

Pada 2019, Bolsonaro tampil secara terbuka membela Neymar apabila pemain bola sepak itu dituduh oleh model Brazil merogolnya di sebuah hotel di Paris, ibu negara Perancis, dalam kes yang ditangguhkan kerana kekurangan bukti.

Neymar menyeru tokoh awam lain yang mengundi Bolsonaro untuk menyokongnya secara terbuka di hadapan penyokongnya.

“Bolsonaro adalah orang yang tepat untuk memimpin Brazil dan kami melihat apa yang beliau lakukan dan apa yang beliau masih boleh perbaiki,” tegas Neymar.

“Saya meminta golongan muda mengikut kata hati ibu bapa mereka dan melakukan apa yang mereka perlu lakukan untuk Brazil.

“Apa yang mendorong saya untuk mendedahkan diri saya – dalam mengisytiharkan sokongan saya kepada Bolsonaro – adalah nilai yang digembar-gemburkan oleh presiden: keluarga dan kebebasan.

“Itulah sebabnya saya menyeru setiap orang yang ingin mengambil pendirian dan mempunyai kebebasan untuk meluahkan perasaan mereka.”

Tokoh bola sepak seperti Ronaldinho Gaucho, Felipe Melo, Rivaldo, Romario, Lucas Moura, Robinho, Renato Gaucho dan Falcao (Raja Futsal), antara lain mengisytiharkan sokongan mereka terhadap Bolsonaro.

“Saya percaya terhadap presiden. Beliau adalah orang yang tepat untuk memimpin Brazil, kita melihat peningkatan dalam semua yang dilakukan, kita harap presiden kita akan dipilih semula. Undi 22,” jelasnya merujuk kepada angka yang perlu dipilih pengundi dalam peti undi elektronik bagi memilih presiden semasa.

Neymar kemudian berjanji untuk membuat isyarat ’22’ dengan jarinya ketika meraikan gol pertamanya pada Piala Dunia Qatar 2022 bulan depan.

“Dengan Bolsonaro dipilih semula dan Brazil muncul juara (Piala Dunia Qatar 2022) setiap orang pasti bergembira. Perasaan menggunakan bendera dan warna kami adalah satu kebanggaan yang tidak terkata.” -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini