comscore
Tumpuan :
Sukan

Neymar lakukan penampilan sulung buat Al-Hilal

Neymar (kanan) meraikan gol bersama pemain Al-Hilal dari Brazil, Malcolm ketika menentang Al-Riyadh pada aksi Liga Pro Saudi di Stadium Putera Faisal bin Fahd, Riyadh, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

RIYADH: Neymar akhirnya melakukan penampilan pertama buat kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal awal pagi tadi sekalipun penyerang Brazil itu tidak menjaringkan gol ketika membenamkan Al-Riyadh 6-1.

Bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu hadir dari bangku simpanan pada babak kedua dengan beberapa gerakan serangan pada perlawanan yang dikuasai pasukannya.

Ia penampilan pertamanya sejak berpindah dengan harga £78 juta (RM452 juta) ke Timur Tengah pada musim panas ini, dengan pemain seperti Aleksandar Mitrovic, Ruben Neves dan Yassine Bounou turut beraksi dengan pendahulu liga itu.

Mitrovic berada dalam senarai penjaring apabila dia menyumbat penalti pada babak pertama .

Yasser Alshahrani, Nasser Aldawsari, Malcolm dan Salem Aldawsari turut menyumbang gol untuk kemenangan besar 6-1 itu.

Pada lewat permainan, Al-Hilal dihadiahkan sepakan penalti.

Penyerang Al-Hilal, Neymar (kiri) cuba mengatasi penjaga gol Al-Riyadh, Martin Campana pada aksi Liga Pro Saudi di Stadium Putera Faisal bin Fahd, Riyadh, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Namun, yang membuatkan peminat kecewa apabila pemain sayap Salem Aldawsari tampil mengambil sepakan itu dan bukan Neymar menyebabkan ejekan didengari di seluruh stadium.

Aldawsari menyempurnakan penalti dan Neymar berlari meraikan jaringan bersama pemain berusia 32 tahun itu.

Susulan kemenangan itu, Al-Hilal melonjak ke tangga teratas selepas mencatat lima kemenangan dan sekali seri dalam enam perlawanan pertama mereka.

Al-Ittihad, yang menampilkan Karim Benzema, N’Golo Kante dan Fabinho, menghuni tangga kedua dengan Al-Ettifaq yang dikendalikan Steven Gerrard di tangga kelima.

Kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr di tangga ketujuh carta dengan tiga kemenangan dan dua kekalahan daripada lima aksi pertama mereka. – AGENSI

Loading...
Terkini