comscore
Tumpuan :
Sukan

Nurul mampu jadi jaguh dunia – Beasley

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, pelumba berpotensi trek negara mampu menjadi pelumba bertaraf dunia apabila memasuki usia pertengahan dua puluhan, kata ketua jurulatih berbasikal trek negara John Beasley.

Justeru beliau berharap rakyat Malaysia dapat memberi ruang dan masa kepada pelumba berusia 20 tahun itu untuk berkembang secara fizikal dan kematangan, sekali gus membuka jalan untuk atlet harapan itu menampilkan persembahan menakjubkan pada masa hadapan.

“Sejujurnya Nurul Izzah membuat saya teruja melihat betapa cepatnya dia belajar, tetapi dia masih dalam proses pertumbuhan dan perkembangan. Jika proses ini cuba disegerakan, ia hanya akan menjejaskan atlet.

“Semua orang berbeza, ada yang dapat berkembang maju dengan cepat dan ada yang mengambil masa lebih lama. Apa yang saya boleh beritahu anda adalah dia akan menjadi pelumba yang baik jika diberi masa dan kita tidak perlu memberi tekanan berlebihan kepadanya,” katanya kepada Bernama.

Bulan lepas anak kelahiran Sungai Petani itu melakar pencapaian hebat apabila muncul juara keirin wanita dan menamatkan kemarau emas Malaysia selama 12 tahun dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara keirin wanita ialah pada edisi 2012 di sini menerusi Fatehah Mustapa.

Nurul Izzah turut memenangi emas dalam acara 500 meter ujian masa, perak dalam acara pecut berpasukan wanita dan gangsa dalam acara pecut wanita di New Delhi.

Beasley yang menyifatkan gadis kecil molek itu sebagai ‘The Pocket Rocketwoman’ melihat kejohanan Piala Negara-negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2024 di Hong Kong minggu lepas  memberi pengajaran berharga kepada Nurul untuk berkembang sebagai pelumba basikal terkemuka,

Jurulatih kelahiran Australia itu  yang kini berada di United Kingdom untuk ujian bersama pasukannya, mengesahkan bahawa Nurul Izzah akan bersaing pada pusingan akhir Piala UCI di Milton, Kanada, yang dijadualkan berlangsung 12-14 April.

Beliau juga memaklumkan rancangan pasukan itu untuk ke Australia Jumaat ini bagi menjalani kem latihan bersama Mohd Azizulhasni dan dua Sahrom bersaudara iaitu Muhammad Shah Firdaus dan Muhammad Ridwan sehingga 7 April, sebelum pelumbaan mereka di Milton.=BERNAMA=

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini