comscore
Tumpuan :
Sukan

OLIMPIK: MoU dengan universiti Jepun dimeterai demi buru emas Olimpik

Foto – Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia terus membuat inisiatif tambahan demi merealisasikan impian memenangi emas Olimpik pertama apabila bekerjasama dengan Universiti Sains Sukan Nippon, Jepun.

Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang bakal membuka peluang perkongsian pengetahuan serta kepakaran berkaitan bidang teknologi sains sukan dan pendidikan jasmani dengan universiti yang dikenali sebagai Nittaidai itu.

MSN menerusi kenyataan di sosial media memaklumkan universiti itu bersedia untuk menawarkan kepakaran dengan membantu memperkasa pengaplikasian sains sukan menerusi kajian ilmiah, latihan serta teknologi terkini yang diterajui barisan pakar akademik berpengalaman.

Ia juga membuka peluang kepada MSN dan MOM untuk menghantar atlet serta jurulatih kebangsaan mengikuti program tindik dan kem latihan di universiti tersebut, selain kepakaran bagi projek penyelidikan dalam bidang sains sukan, pembangunan jurulatih serta kurikulum pendidikan jasmani.

“Institusi pengajian tinggi utama Jepun itu memiliki rekod hebat dalam penghasilan atlet bertaraf dunia dan telah melahirkan 137 pemenang pingat untuk kontinjen Jepun di temasya Sukan Olimpik serta Sukan Paralimpik, termasuk 41 pingat emas keseluruhan,” menurut MSN.

Pada majlis itu, MSN diwakili Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Shapawi Ismail, MOM pula diwakili Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, manakala Universiti Sains Sukan Nippon diwakili Pengerusi Lembaga Pengarah Kenshiro Matsunami.

“Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengharapkan dengan MoU yang dimeterai pada hari ini, Malaysia dapat selangkah lebih dekat dalam mencapai hasrat Road to Gold di Sukan Olimpik nanti,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini