comscore
Tumpuan :
Sukan

Oliveira ‘senjata’ baru Harimau Kumbang

Oliveira penyerang dari Brazil baru seminggu menjalani latihan bersama Penang FC. – FOTO: Penang FC

BUKIT MERTAJAM: Ketua jurulatih Penang FC Akmal Rizal Ahmad Rakhli membayangkan akan menyenaraikan pemain import baharu dari Brazil Neto Oliveira, dalam kesebelasan utama menentang Sabah FC pada aksi pembukaan Liga Super minggu depan.

Bagaimanapun buat masa ini menurut Akmal, pihaknya masih memantau prestasi dan tahap kecergasannya memandangkan baru seminggu berlatih bersama pasukan.

Namun, beliau percaya pemain berusia 26 tahun itu akan cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan berdasarkan pengalamannya yang pernah beraksi dengan beberapa kelab profesional dalam Liga Brazil termasuk Santos FC dengan dibantu tiga lagi pemain import iaitu Rodrigo Dias, Rafael Vitor dan Richmond Ankrah yang dipinjamkan daripada Selangor FC.

“Rafael, Richmond dan Rodrigo sudah lama dalam pasukan, dah lebih daripada sebulan, jadi mereka sudah serasi sesama sendiri tetapi Oliveira yang baru seminggu sertai latihan mungkin memerlukan sedikit masa untuk serasi dan juga memahami apa yang hendak pasukan lakukan dalam perlawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi Penang FC 2024/2025 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal Rizal gembira dengan prestasi ditunjukkan setiap pemain terutama dalam beberapa perlawanan pramusim sejak lebih dua bulan lepas dan yakin barisan yang diketengahkan pada musim ini mampu memberikan saingan terhadap pasukan lain sekali gus memperbaiki kedudukan musim lepas.

Sebagai rekod, pada musim lalu, Harimau Kumbang menamatkan saingan Liga Super di tempat ke-10 dan mara ke suku akhir saingan Piala FA serta berjaya ke separuh akhir Piala Cabaran. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini