comscore
Tumpuan :
Sukan

Palestin bakal beraksi dalam tekanan

Pasukan bola sepak Palestin. – Foto: Reuters

JEDDAH: Hanya tuhan yang tahu betapa besar ‘dugaan’ buat pemain Palestin yang akan beraksi pada Piala Asia 2023 di Qatar yang bermula 12 Januari ini.

Pasukan itu bergelut untuk memberikan tumpuan ketika peperangan berterusan di Gaza, yang mana beribu-ribu terkorban.

Beberapa pemain kehilangan orang yang tersayang dalam pengeboman tanpa henti Israel di wilayah yang dikepung susulan tindak balas kepada serangan Hamas.

“Setiap orang asyik dengan perkembangan terkini, sebelum dan selepas latihan, sama ada di dalam bas mahupun di hotel,” kata jurulatih pasukan Makram Daboub dari pusat latihan mereka di Arab Saudi.

Pemain Palestin, Mahmoud Wadi (kiri) mempunyai keluarga yang terperangkap di Gaza ketika rumah mereka sudah musnah dibom Israel. – Foto: Reuters

Qatar menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 dari 12 Januari hingga 10 Februari dan Palestin yang diundi dalam Kumpulan C, akan memulakan cabaran menentang Iran pada 14 Januari ini, diikuti Emeriah Arab Bersatu (19 Januari) dan Hong Kong pada 23 Januari.

“Pemain berasa bimbang sepanjang masa terhadap keselamatan keluarga mereka,” kata Daboub, bekas jurulatih dan pemain Tunisia itu.

Persatuan Bolasepak Palestin meraikan kejayaan Jun tahun lalu apabila pasukan kebangsaan negara itu layak  ke Piala Asia buat kali ketiga.

“Kami mempunyai masalah fizikal, teknikal dan taktikal akibat penggantungan kejohanan… serta isu psikologi,” kata Daboub.

Sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu, perlawanan bola sepak di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki Israel digantung.

Ramai pemain bergelut, terutama seperti Mahmoud Wadi dan Mohammed Saleh yang mempunyai keluarga terperangkap di Gaza ketika rumah mereka sudah musnah dibom, kata Daboub.

“Mereka menderita,” katanya.Selainnya mempunyai saudara mara yang terpaksa melarikan diri dari pengeboman tanpa henti Israel di utara wilayah itu dan mencari tempat berteduh di selatan, “yang mana keadaannya amat sukar”, katanya.

Loading...
Terkini