comscore
Tumpuan :
Sukan

Palmer jaringkan 2 gol bantu Chelsea benam kelab bawahan, Luton

Pemain Chelsea, Cole Palmer (tengah) meledak dua gol ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Luton Town di Kenilworth Road, Luton. – FOTO: Reuters

LUTON: Cole Palmer muncul wira Chelsea malam ini apabila meledak dua gol dan mencipta satu bantuan gol untuk membolehkan The Blues menewaskan Luton dalam aksi Liga Perdana Inggeris sebentar tadi di Kenilworth Road.

Bagaimanapun, anak-anak buah Mauricio Pochettino terpaksa bertahan sehingga ke minit terakhir apabila tuan rumah memaparkan semangat melawan di hujung babak kedua.

Pochettino membuat satu pertukaran dengan memasukkan Noni Madueke, penjaring gol tunggal ketika menewaskan Crystal Palace.

Seawal minit ke-12, Chelsea sudah didepan apabila Palmer menyempurnakan gol ketujuhnya musim ni apabila menewaskan penjaga gol Thomas Kaminski.

8 minit sebelum rehat, Madueke menyumbat gol kedua pelawat menerusi rembatan kaki kanannya hasil hantaran Palmer.

Noni Madueke meraikan jaringan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Luton Town di Kenilworth Road, Luton. – FOTO: Reuters

Pada minit ke-70, Chelsea menambah satu lagi gol apabila Palmer menjaringkan gol kedua peribadinya menjadikan kedudukan 3-0.

4 minit berselang, Luton tiba-tiba menemui rentak.

Namun jaringan Elijah Adebayor dibatalkan VAR apabila Alfie Doughty didapati ofsaid sebelum melorongkan bola.

Situasi itu seakan menyemarakkan semangat pemain Luton, apabila bekas pemain Chelsea, Ross Barkley menguis bola ke gawang gol hasil sepakan sudut, 10 minit sebelum tamat permainan.

7 minit kemudian, Adebayor berjaya menanduk masuk bola melepasi penjaga gol untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Bagaimanapun, Chelsea berjaya mengekang kemaraan lawan dan memperolehi kemenangan ketiga daripada empat perlawanan, sekaligus menduduki tangga ke-10 liga dengan pungutan 28 mata.

Luton kekal di kedudukan ke-18 dengan 15 mata.

Loading...
Terkini