Tumpuan :
Sukan

Pang Ron-Su Yin lakar sejarah ke final Masters China

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin melakar pencapaian tertinggi dalam karier mereka apabila membuat penampilan kali pertama pada final kejohanan Super 750 di Masters China, esok.

Terdahulu, pasangan ranking ke-23 dunia itu mengesahkan tiket ke final selepas mengejutkan gandingan nombor tujuh dunia dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet pada aksi separuh akhir, sebentar tadi.

Bagaimanapun, Pang Ron-Su Yin berdepan detik cemas apabila dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-14, 17-21, 21-19 dalam tempoh 65 minit di Gimnasium Shenzen.

Sebagai rekod, ini adalah kemenangan kedua berturut-turut pasangan negara itu yang hanya mula digandingkan pada November tahun lalu ke atas lawan berkenaan selepas turut menang dalam pertemuan pertama mereka di Terbuka Macau, September lalu.

Pang Ron-Su Yin akan membuat perhitungan dengan jaguh tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping bagi perebutan gelaran juara, esok.

Yan Zhe-Dong Ping melangkah ke final selepas mengecewakan beregu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 21-18, 21-13 pada satu lagi pertembungan separuh akhir.

Kekalahan menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mengalihkan fokus untuk persiapan menghadapi saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou dari 11 hingga 15 Disember depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini