comscore
Tumpuan :
Sukan

Para Sukma 2024: Sarawak sah juara keseluruhan

KUCHING: Kontinjen Sarawak kembali merampas gelaran juara keseluruhan Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) daripada Sabah, berbaki satu hari lagi sebelum edisi kali ini menutup tirai secara rasminya, malam esok.

Sarawak mengesahkan kejuaraan apabila merangkul 82 emas, 51 perak dan 72 gangsa setakat 7.30 malam ini, manakala juara bertahan, Sabah di kedudukan kedua dengan pungutan 62 emas, 42 perak dan 31 gangsa.

Sebanyak sembilan pingat emas dijangka menjadi taruhan dalam saingan boling padang, esok.

Pada hari kelima temasya hari ini, Sarawak meraih 11 emas, dua perak dan 11 gangsa, manakala Sabah meraih tujuh emas, lima perak dan enam gangsa.

Namun, kontinjen Bumi Kenyalang itu masih mempunyai misi untuk mengejar sasaran 83 pingat emas yang ditetapkan selepas menghantar kontinjen seramai 213 atlet (143 lelaki, 70 wanita) pada kali ini.

Sarawak telah lama mendominasi Para SUKMA apabila bergelar juara sebanyak 13 kali berturut-turut dari edisi 1994 di Johor hingga 2018 di Perak.

Temasya itu sebelum ini pernah dikenali sebagai Sukan Orang Cacat Malaysia (1982-1996) dan Sukan Paralimpiad Malaysia (1998-2016).

Pada edisi 2022 di Kuala Lumpur, Sabah meraih gelaran sulungnya selepas memenangi 54 emas, 36 perak dan 35 gangsa, kelebihan empat emas untuk mengecewakan Sarawak di kedudukan kedua (50-47-49).

Lebih 1,200 atlet dari 15 negeri menyertai Para SUKMA 2024, dengan olahraga menjadi lubuk emas utama apabila menawarkan sejumlah 132 pingat emas, diikuti renang (60), powerlifting dan catur masing-masing 24 emas, tenpin boling (20), boling padang (19), ping pong (15), memanah (14), badminton (12) dan boccia (8).

Majlis Penutupan dijadualkan pada 8.30 malam esok di Stadium Perpaduan, di mana Atlet Terbaik Lelaki dan Wanita Para SUKMA 2024 akan diumumkan. – BERNAMA

Loading...
Terkini