comscore
Tumpuan :
Sukan

Para Sukma: Sarawak hampiri gelaran juara keseluruhan

KUCHING: Tuan rumah, Sarawak semakin hampir dinobat selaku juara keseluruhan Para Sukan Malaysia Ke-21 (Para Sukma XXI) apabila terus mendahului carta pungutan pingat, berbaki sehari lagi saingan rasmi.

Setakat jam 3.30 petang tadi, Sarawak meraih 81 pingat emas, 51 perak dan 72 gangsa untuk mengumpul keseluruhan 204 pingat.

Juara keseluruhan edisi lalu, Sabah di tangga kedua dengan 62 emas, 41 perak dan 31 gangsa.

Sarawak diramal mampu mengekalkan kedudukan teratas dengan banyak lagi acara akhir hari ini membabitkan atlet kontinjen Bumi Kenyalang itu.

Kedudukan itu mencerahkan peluang Sarawak untuk merampas semula kejuaraan yang terlepas kepada Sabah pada edisi, dua tahun lalu.

Pada Para Sukma 2022 di Kuala Lumpur, Sabah muncul juara keseluruhan dengan 54 pingat emas, manakala Sarawak akur di tangga kedua dengan 50 emas.

Persaingan untuk tempat ketiga keseluruhan pula kini terbuka kepada dua kontinjen iaitu Johor dan Selangor.

Johor setakat ini mengutip 33 emas, 32 perak dan 29 gangsa, manakala Selangor mengekori rapat dengan 29 emas, 42 perak dan 38 gangsa.

Kontinjen di kedudukan kelima, Perak pula dengan 25 emas, 22 perak dan 18 gangsa.

Para Sukma XXI akan melabuhkan tirainya di Stadium Petra Jaya, malam esok dengan upacara penutupan akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini