KUCHING: Kontinjen Sarawak sudah menang bergaya meskipun kurang satu emas untuk menepati sasaran 83 pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Beliau berkata pencapaian itu sekali gus “mengubat luka” skuad tuan rumah dengan merampas semula gelaran juara temasya itu daripada Sabah yang kini terpaksa akur di tangga kedua apabila mengutip 62 pingat emas.
“Kalau nak dibandingkan edisi lepas kita kalah dengan Sabah hanya empat pingat tapi kali ini kita jarakkan (Sabah) dengan 20 pingat emas, jadi ini kejayaan yang sangat meyakinkan dan saya katakan ia sebagai kemenangan bergaya buat kontinjen Para SUKMA Sarawak.
“Saya akui ada sukan kita sasar emas tapi dapat gangsa…ini memang lumrah ada kalanya kita tersasar tapi ini tersasarnya sikit sahaja jadi masih cemerlang, apa pun tahniah dan syabas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan “Picture and Article of The Day” di Pusat Media Para SUKMA 2024 hari ini.
Mengangkat semangat “agi idup agi ngelaban” yang bermaksud berjuang selagi bernyawa, Fatimah berkata latihan untuk mempersiap skuad Sarawak menjelang edisi Para SUKMA 2026 bakal dimulakan esok.
Sarawak telah lama mendominasi Para SUKMA apabila bergelar juara 13 kali berturut-turut dari edisi 1994 di Johor hingga 2018 di Perak. Temasya itu sebelum ini dikenali sebagai Sukan Orang Cacat Malaysia (1982-1996) dan Sukan Paralimpiad Malaysia (1998-2016).
Pada edisi 2022 di Kuala Lumpur, Sabah meraih gelaran juara sulungnya selepas memenangi 54 emas, 36 perak dan 35 gangsa, kelebihan empat emas untuk mengecewakan Sarawak di kedudukan kedua (50-47-49).
Lebih 1,200 atlet dari 15 negeri menyertai Para SUKMA 2024, dengan olahraga menjadi lubuk emas utama apabila menawarkan sejumlah 132 pingat emas, diikuti renang (60), powerlifting dan catur masing-masing 24 emas, tenpin boling (20), boling padang (19), ping pong (15), memanah (14), badminton (12) dan boccia (8).
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.