comscore
Tumpuan :
Sukan

Para Sukma: Suami isteri sumbang emas buat Kedah, Pahang

KUCHING: Pasangan suami isteri, Amyrul Yazid Ahmad Sibi dan Wan Noraini Zainurian mencuri tumpuan pada hari terakhir badminton Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2024 apabila kedua-duanya merangkul emas di Dewan Persatuan Badminton Sarawak, di sini, hari ini.

Amyrul menyumbang emas buat Kedah bersama pasangannya Ahmad Syahir Mohammad dalam acara beregu lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dengan menewaskan Arif Ridzuan Ab Nasir-Shamil Kahar dari Negeri Sembilan 21-16, 21-14.

Manakala isterinya, Wan Noraini yang mewakili Pahang mengecewakan wakil tuan rumah, Nursyazwani Shahrom, 22-20, 21-9, untuk merangkul emas perseorangan wanita SL4-SU5 (kecacatan fizikal).

Amyrul berkata, kejayaan isteri merangkul pingat emas sulung selepas tiga kali percubaan di temasya dwitahunan itu memberikan inspirasi buatnya menebus kesilapan untuk tampil lebih garang pada final keduanya sekali gus mengubati kekecewaan ditumbangkan Mohamad Faris Ahmad Azri 21-18, 21-9 dalam perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), pagi tadi.

“Kemenangan isteri memang beri inspirasi buat saya. Jika isteri dapat emas, tak kan saya tidak boleh menang satu pun sebab saya ada dua final hari ini.

“Ketika aksi perseorangan tadi memang saya kecewa sebab gelanggang licin jadi saya tak dapat keluarkan prestasi sebenar saya. Alhamdulillah saya dapat kejar balik ketika aksi beregu dan akhirnya dapat emas,” katanya kepada pemberita.

Biarpun terpaksa berjauhan dengan isteri yang bertugas di Pahang, pemain kebangsaan itu yang dilahirkan dengan tangan kudung sebelah kiri sejak lahir, memberitahu mereka sering menjalani latihan bersama sekiranya beliau melawat Wan Noraini di negeri Pantai Timur itu ataupun ketika isterinya pulang bertemunya di Kuala Lumpur.

Pemain berusia 30 tahun yang menjalani latihan sepenuh masa di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan di Kuala Lumpur itu berkata pencapaiannya hari ini menyuntik semangat untuk meraih kedudukan podium pada Sukan Para Asean 2025 di Thailand.

Sementara itu, Wan Noraini, 40, gembira beliau akhirnya dapat mengecap nikmat kejayaan di Para Sukma selepas memenangi dua perak bagi acara sama pada edisi 2016 dan 2018.

Pembantu tadbir (Pejabat UMNO Rompin) itu juga bersyukur dapat mengatasi masalah kesihatan susulan hemoglobin (Hb) rendah untuk mengharumkan nama negeri Pahang dan berkongsi kejayaan bermakna bersama suami tercinta.

“Julai lalu saya bergelut dengan Hb rendah dan masih rasa sedikit lagi ketika ini namun saya cuba lawan. Saya tidak fikir soal pingat dan imbuhan, hanya buat yang terbaik selepas kerja keras dilakukan sebelum ini,” katanya.

Para Sukma 2024 yang dibuka secara rasmi sejak Ahad lalu akan melabuhkan tirainya di Stadium Perpaduan, di sini, malam esok. -BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini