Tumpuan :
Sukan

‘Pasukan kami terburuk dalam sejarah United’ – Amorim

Pengendali Manchester United, Ruben Amorim (kiri) melabelkan pasukannya sebagai yang terburuk dalam sejarah kelab selepas kekalahan 3-1 kepada Brighton & Hove Albion di Old Trafford, Manchester. – Foto: Reuters

MANCHESTER: “Bayangkan apa perasaan peminat Manchester United sekarang. Bayangkan bagaimana keadaan saya. Kami mendapat jurulatih baharu yang tewas lebih banyak daripada jurulatih sebelumnya (Erik ten Hag). Saya sedar perkara itu.

Itulah luahan pengendali Manchester United, Ruben Amorim sekaligus melabelkan pasukannya sebagai yang terburuk dalam sejarah kelab selepas kekalahan ke-10 saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri di tangan Brighton & Hove Albion.

Kekalahan 3-1 itu meletakkan United di tangga ke-13 liga dan menuju ke arah penamat terburuk mereka dalam era EPL.

Brighton mudah meraih kemenangan dan United kini hanya mengumpul 11 mata daripada 33 ditawarkan sejak Amorim menyertai mereka dari Sporting pada November. Ini adalah kali pertama sejak musim 1989-90 mereka tewas 10 daripada 22 perlawanan pertama liga.

“Tetapi saya sesekali tidak akan mengubahnya. Saya tahu kami boleh berjaya, tetapi kami perlu melepasi saat ini. Saya bukannya naif dan saya tahu kami perlu mengharunginya.

“Kami adalah pasukan terburuk, mungkin, dalam sejarah Manchester United. Saya tahu anda mahukan tajuk utama, tetapi saya katakan itu kerana kami perlu menyedari dan mengubahnya,” kata Amorim.

Juara Inggeris 20 kali itu hanya mengumpul 26 mata daripada 22 perlawanan musim ini. Penamat terburuk mereka dalam era Liga Perdana Inggeris ialah di tempat kelapan musim lalu.

Amorim berkata, laluan semakin sukar menanti mereka sebelum musim berakhir, dengan Rangers akan bertandang di Old Trafford untuk aksi Liga Europa pada Khamis sebelum kunjungan ke Fulham bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris seterusnya Ahad ini.

United, yang kali terakhir tersingkir daripada liga tertinggi pada tahun 1974, tewas enam daripada 12 perlawanan pertama liga di laman sendiri – rekod terburuk sejak 1893-94.

Kali terakhir United tewas 10 daripada 22 perlawanan pertama mereka ialah ketika di bawah bimbingan Alex Ferguson yang kemudian menjadi pengendali terhebat kelab dengan 13 gelaran liga tertinggi Inggeris. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini