comscore
Tumpuan :
Sukan

Pasukan Liga Super belanja RM200 juta

Selangor antara tiga pasukan yang dijangka belanja lebih RM25 juta hadapi Liga Super musim ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Nilai perbelanjaan keseluruhan 14 pasukan Liga Super bagi menghadapi saingan musim ini dianggarkan berjumlah lebih RM200 juta.

Jumlah itu didorong oleh usaha pasukan yang mahu menyediakan barisan kejurulatihan dan pemain terbaik bagi meraih keputusan positif termasuk memanfaatkan peluang kuota sembilan pemain import yang dibenarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan, berdasarkan pemerhatiannya terdapat sekurang-kurangnya tiga kelab mungkin membelanjakan lebih RM25 juta untuk membentuk pasukan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor dan Terengganu.

Beliau berkata, enam pasukan lain seperti Kuala Lumpur City (KL City), Sabah, Kedah Darul Aman (KDA), Negeri Sembilan dan Sri Pahang pula mungkin membelanjakan dalam lingkungan RM15 juta.

“Perak, PDRM, Kuching City, Kelantan dan Kelantan United dianggarkan mengeluarkan peruntukan tidak lebih RM10 juta. Sudah pasti JDT antara pasukan yang mengeluarkan belanja besar berdasarkan kepada kualiti pemain yang dimiliki mereka,” katanya.

Selain itu, Effendi berkata, walaupun perbelanjaan pasukan meningkat pada musim 2023, namun pembelian pemain terutama dalam mendapatkan tonggak import tidak berlaku perubahan besar.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa kelab tetap perlu bijak menguruskan perbelanjaan bagi mengelak berdepan krisis kewangan termasuk soal pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan pada masa akan datang.

“Seperti biasa, sebahagian kelab masih berminat menggunakan pemain import ‘recycle’ (kitar semula) sekali gus tiada elemen kejutan seperti yang diharapkan penyokong.

“Cuma perubahan yang dapat dilihat adalah pasukan bertanding berani menggunakan pemain muda untuk menggalas cabaran mengharungi musim 2023,” katanya.

Loading...
Terkini