comscore
Tumpuan :
Sukan

PDRM tambah derita Kelantan United

FOTO: @officialpdrmfc

PETALING JAYA: PDRM FC terus mengukuhkan kedudukan di pertengahan liga apabila berjaya melakar kemenangan kedua dalam saingan Liga Super musim ini selepas menang 2-0 ke atas Kelantan United, petang tadi.

Kejayaan mengutip tiga mata penuh itu adalah yang kedua selepas sebelum ini turut menang dengan menewaskan Kedah Darul Aman FC 1-0 pada 4 Mac lalu.

Hasil kemenangan itu meletakkan skuad The Cops mengumpul tujuh mata untuk berada di tangga keenam liga setakat ini.

Sebaliknya malam buat Kelantan United apabila kekalahan itu terus meletakkan mereka di tangga tercorot liga dengan satu mata selepas lima aksi.

Dalam aksi itu, dua gol PDRM diraih pada babak pertama menerusi jaringan Dzulfahmi Abdul Hadi di minit kesembilan sebelum penyerang import, Uche Agba menyempurnakan sepakan penalti di minit 38.

Biarpun Kelantan United cuba bangkit pada separuh masa kedua, tuah nyata tidak memihak pelawat apabila deretan peluang sekadar terkena palang dan tiang gol buat menamatkan saingan memihak tuan rumah.

Kekalahan itu juga pastinya meletakkan pengendali Kelantan United, Tomas Trucha di posisi bahaya ekoran kekalahan keempat itu.

Selepas ini, Liga Super berhenti rehat untuk memberi laluan kepada aksi jendela antarabangsa Fifa sebelum bersambung semula 31 Mac ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini